Barisan sub Kedah tak sepadu pesaing kelab lain, tiba masanya Nafuzi cuba 3 nama


  • Podium
  • Ahad, 20 Ogos 2023

Barisan pemain simpanan KDA FC disifatkan belum mencapai tahap kualiti setanding dengan pesaing lain di Liga M. — KDA FC

KEKALAHAN di tangan Perak FC di tangga Perak FC secara agregat 4-3 di pusingan 16 Piala Malaysia merupakan satu kejutan buat Kedah Darul Aman (KDA) FC.

Mana tidaknya, di atas kertas, anak buah Nafuzi Zain yang kini berada di tangga ketiga Liga Super sememangnya menjadi pasukan pilihan untuk mara ke peringkat seterusnya.

Ini kerana Perak FC dilihat merupakan yang sedang bergelut di kelompok bawahan liga meskipun berjaya mencatatkan beberapa keputusan positif sejak akhir-akhir ini.

Pada masa sama, kualiti pemain dimiliki KDA FC juga secara umumnya adalah lebih baik berbanding pasukan lawan sama ada dari segi keupayaan teknikal dan pengalaman.

367431299_331969482517569_4978777938168961166_n

Barisan pemain KDA FC semasa aksi kedua pusingan 16 Piala Malaysia 2023 pada Jumaat. — KDA FC

Disebabkan itu, penyingkiran yang dialami seharusnya menjadi satu reality check buat pihak pengurusan KDA FC terhadap keperluan untuk memperbaiki beberapa isu dalam pasukan.

Langkah penambahbaikan itu amat penting bagi memastikan skuad Sang Kenari mampu untuk terus memberikan saingan lebih kompetitif di Liga Malaysia (M) bukan sahaja pada musim ini, tetapi juga di musim-musim akan datang.

Sementara itu, mengulas mengenai antara masalah boleh diperbaiki KDA FC, pemerhati bola sepak tempatan, Ali Canavarro menyifatkan, isu kedalaman pasukan atau squad depth adalah antara perlu diberikan perhatian.

Katanya, ini kerana kualiti pemain simpanan pasukan ketika ini dilihat belum mencapai tahap yang sama berbanding dengan pasukan lain yang sedang bersaing di kelompok teratas liga.

367447496_331144959266688_1225762554312897202_n

Faizal (tengah) ketika sesi latihan bersama skuad KDA FC. — KDA FC

Menurut Ali, perkara itu perlu ditangani oleh pihak pengurusan di samping isu lain seperti mendapatkan import berkualiti, memperbaiki hantaran lintang dan mencari penjaga gol yang konsisten.

"Kedah tak macam JDT, Selangor, Pahang, Sabah dan Terengganu. Simmpanan Kedah ni bagi aku cukup-cukup makan sahaja. Yang boleh main pun aku tengok Fadzrul (Danel), Fayadh (Zulkifli) dan Kamil (Akmal) sahaja.

"Yang lain aku rasa belum capai piawaian ditetapkan. Mungkin NZ (Nafuzi) boleh cuba Faizal Talib lepas ni. Dan aku harapkan tahun depan, Kedah dapat solidkan team dari first eleven sampailah ke simpanan.

"Nak bersaing dengan JDT, Sabah dan Selangor kena bagi settle benda ni dulu," ujarnya menerusi hantaran di Facebook Analisis Tangga Ayam.

Dalam pada itu, menurut penyokong KDA FC, selain Faizal yang beraksi di posisi sayap kanan, dua lagi pemain simpanan perlu diberikan peluang oleh Nafuzi untuk beraksi ialah Azrin Afiq (bek kiri) dan Halim Saari (pemain tengah).

Pada waktu ini, Faizal masih belum membuat sebarang penampilan bersama skuad Sang Kenari dalam mana-mana perlawanan Liga M pada musim ini dan hanya diletakkan di bangku simpanan menerusi tiga aksi liga.

367984231_330634809317703_8751458011393816765_n

Halim kembali bersama KDA FC pada 1 Ogos lalu. — KDA FC

Dengan perpinjaman Al Hafiz Harun ke Penang FC pada pertengahan musim lalu, pemain berusia 26 tahun itu dilihat kini merupakan pilihan kedua di posisi sayap kanan selepas Manuel Hidalgo.

Sementara itu, Azrin, 21, yang baru berpindah dari Selangor FC ke KDA FC pada penghujung tahun lalu pula lebih banyak memanaskan bangku simpanan apabila hanya beraksi dalam empat perlawanan sebagai pemain gantian dengan Nafuzi kini meletakkan kepercayaan kepada Ariff Farhan untuk bermain di posisi bek kiri.

Bagi Halim Saari pula, selepas diumumkan kembali menyertai skuad Sang Kenari pada Ogos lalu, dia masih belum membuat sebarang penampilan bersama skuad utama.

Pemain berusia 29 tahun itu sebelum ini terpaksa berehat panjang selama dua musim ketika bersama Selangor FC akibat kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) yang dialami pada awal musim 2021. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram