LIGA SUPER semakin hampir menutup tirainya apabila tinggal beberapa sahaja baki perlawanan yang perlu dihadapi pasukan Liga Malaysia untuk menempatkan diri dalam kedudukan liga terbaik musim ini.
Meskipun sudah melakukan penambahbaikan dengan kemasukan import dan pemain tempatan baharu masih ada pasukan yang belum mampu mempertingkatkan prestasi semasa mereka.
Malang bagi Kelantan FC apabila mereka tidak dibenarkan untuk menurunkan pemain import baharu selepas didakwa masih belum mendapat kebenaran Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) kerana ada tunggakan gaji.
Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pula dilihat mempunyai masalah untuk memantapkan barisan pertahanan mereka selepas Rodney Celvin mengalami prestasi yang tidak menentu sejak akhir-akhir ini.
Manakala Perak FC dibawah bimbingan Yusri Che Lah pula dalam landasan terbaik untuk kembali bersaing dan memberikan cabaran sengit dalam Piala Malaysia namun The Bos Gaurus kelihatan tumpul di bahagian serangan pasukan walaupun sudah membawa masuk Luka Milunovic.
Mungkin kehadiran bekas import yang pernah beraksi cemerlang bersama tiga pasukan yang dinyatakan itu mampu membantu mereka kembali bersaing dalam Liga Super musim depan.
Majoriti senaraikan tiga bekas pemain yang pernah cemerlang ketika mewakili pasukan Kelantan FC, Perak FC dan KDA FC:
Careca mula menyertai Perak FC pada 2019. — Facebook/Perak FA
1. Raianderson da Costa Morais (Perak FC)
Raianderson da Costa Morais atau lebih dikenali sebagai Careca pastinya diingati penyokong Perak apabila dia merupakan pemain import muda cemerlang di bawah kendalian Mehmet Durakovic.
Kemasukan singkat Careca ternyata berjaya memikat hati penyokong apabila dia menjaringkan tujuh gol serta dua assist dalam 10 penampilan bersama Perak FC.
Careca yang beraksi sebagai pemain tengah menyerang juga mampu mengawal permainan The Bos Gaurus dengan baik yang mana corak permainan pemain berusia 27 tahun itu mirip Endrick dos Santos.
Pemain kelahiran Brazil itu melakukan 30 penampilan, menjaringkan 11 gol, dua assist sepanjang tiga musim sejak 2019 hingga 2021 sebelum meninggalkan pasukan akibat masalah kewangan.
Musim ini Careca beraksi di Liga Korea bersama Gangneung Citizen dan sudah menjaringkan dua gol serta satu assist dalam lima perlawanan terakhir.
Do Dong-hyun digelar 'Messi Kelantan' oleh penyokong TRW. — Facebook/Kelantan FA
2. Do Dong-hyun (TRW Kelantan FC)
Pemain sayap kelahiran Korea Selatan, Do Dong-hyun pernah digelar 'Messi Kelantan' kerana kelincahan dan kelajuan yang dimiliki pemain itu dalam membawa bola untuk masuk ke dalam kawasan pihak lawan.
Dong-hyun, kini sedang beraksi bersama pasukan Jinju Citizen dengan status pinjaman oleh pasukannya iaitu Gyeongnam FC di dalam saingan liga keempat negara kelahirannya.
Pemain berusia 29 tahun ini pernah beraksi dalam saingan Liga Malaysia pada tahun 2017 sehingga 2019 dengan menyertai pasukan UiTM FC, Kelantan FC dan Terengganu FC sebelum pulang ke negara asalnya.
Walaupun bertubuh kecil, Dong-hyun mempunyai kelajuan, kelincahan serta mempunyai kekuatan kaki kiri untuk mengambil sepakan percuma sehingga mampu menjaringkan gol buat pasukannya.
Sebelum beraksi di dalam liga tempatan 'Messi Kelantan' ini pernah berkelana ke Liga Australia, India dan Jepun sebelum memulakan kariernya di Malaysia.
Renan berjaya membantu Sang Kenari mendapatkan slot saingan Piala AFC 2022. — Facebook
3. Renan Alves (Kedah Darul Aman FC)
Pemain pertahanan kelahiran Brazil ini sangat diminati oleh penyokong-penyokong Hijau Kuning kerana semangat kesukanan dan ketangkasannya dalam menjaga benteng pertahanan Kedah pada musim lalu.
Renan telah menjadi tonggak utama buat jurulatih Kedah, Aidil Shahrin selama tiga musim berturut-turut. Dia juga berjaya membantu pasukan Sang Kenari mendapatkan slot dalam saingan AFC 2022.
Pemain berusia 30 tahun itu tampil dalam 59 perlawanan bersama PS Barito Putera dan menjaringkan 12 gol serta satu assists.
Renan mampu membentuk gandingan terbaik bersama Bojan Ciger jika pemain pertahanan Serbia itu kembali bersama Sang Kenari musim depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram