PEMILIK Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, sekali lagi mencadangkan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk mengimplementasikan peraturan 'Financial Fair Play' (FFP) di negara ini tahun depan.
Selain cadangan pengurusan kewangan yang adil itu, yang pernah disarankan beberapa tahun lalu, Tunku Mahkota Johor (TMJ) juga menyarankan supaya FAM dan MFL mengutamakan pembangunan bakat akar umbi pasukan bola sepak di negara ini.
Di Eropah, FFP mula diwujudkan pada musim 2011/2012 selepas banyak pasukan di benua itu mula berdepan masalah kewangan sejak 2009 yang mana lebih 655 kelab mengalami kerugian berbanding tahun sebelumnya.
Menjadi persoalan adakah FFP mampu menyelesaikan masalah tunggakan gaji di negara ini yang dilihat masih tiada jalan penyelesaian.
Datuk Dr Pekan Ramli. — Astro Arena
Penganalisis sukan, Datuk Dr Pekan Ramli berpandangan FFP antara komponen yang baik untuk memajukan Liga Malaysia tetapi ia dilihat masih belum mampu menyelesaikan masalah tunggakan gaji.
"FFP tidak akan menyelesaikan masalah isu gaji kerana di Eropah juga masih ada masalah-masalah seperti ini yang belum selesai.
"Jika dipraktikkan dalam Liga M, saya setuju tapi kena buat dengan betul sebab kita tahu banyak kelab dah tak mampu jadi nanti liga kita cuma ada satu atau dua kelab yang mampu ikut peraturan itu.
"FAM kena main layang-layang kalau terlalu serius nak buat FFP sanggupkah kita melihat beberapa pasukan sahaja yang mematuhi peraturan itu?
"Kerana kalau di Eropah kelab yang berdepan tindakan FFP ini akan dikenakan denda sehingga RM30 hingga RM40 juta. Kelab Liga M kena RM1 hingga RM2 juta pun dah bermasalah," katanya pada Majoriti.
Tangkap layar komen TMJ dalam Instagram.
Tambahnya lagi elemen FFP itu sudah pun diaplikasikan oleh FAM dalam Liga M menerusi First Instance Body (FIB).
"Elemen FFP ini memang sudah ada sebenarnya dalam Liga Malaysia ini.
"Seumpama keputusan yang dibuat oleh FIB contoh penilaian sama ada kelab itu boleh bersaing atau pun tidak jika ada isu kewangan dan sebagainya.
"Cumanya benda itu bukan dalam bentuk yang dibuat seperti Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA).
"Benda ini satu kaedah yang bagus tapi ia bergantung kepada sejauh mana kita serius untuk mempraktikkan peraturan FFP itu," ujarnya.
Chelsea antara pasukan yang pernah dikenakan tindakan FFP oleh UEFA. — Agensi
Pekan turut berkata, tiada masalah jika kelab-kelab Liga M mendapat sumbangan atau pun sokongan daripada kerajaan negeri jika FAM atau MFL mahu melaksanakan FFP memandangkan perkara itu perlu melihat hasil pendapatan pasukan.
"Kita tidak pasti sama ada kelab yang ada semua bergantung kepada sumbangan dan peruntukan kerajaan negeri dan sebagainya.
"Bagi saya itu tidak menjadi isu, kalau persatuan sukan atau pun kelab bola sepak sememangnya terpaksa bergantung kepada sokongan kerajaan negeri.
"FAM juga mendapat sokongan daripada pihak kerajaan jadi disebabkan itu kita tidak boleh bersikap prejudis dengan perkara itu.
"Kalau aspek kebajikan, pembangunan, infrastruktur kita tidak boleh nafikan sukan juga satu sektor yang perlu dibantu oleh kerajaan terutamanya keadaan ekonomi di Malaysia.
"Tetapi daripada aspek positif dengan adanya FFP kita mengharapkan supaya pendekatan kelab dalam aspek penajaan kewangan, pengawalan sumber kewangan, tadbir urus yang baik itu akan menjadi lebih bagus supaya kelab lebih tersusun daripada pelbagai segi," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram