Lepas Vida dan Erfan, giliran anak Johor pula tunjuk minat dapatkan TRW


  • Podium
  • Ahad, 20 Ogos 2023

Skuad TRW berada dalam keadaan yang amat mengecewakan sejak awal musim lalu. — Facebook/TRW Kelantan FC

KEKALAHAN mengecewakan 0-10 yang dialami Kelantan FC kepada Johor Darul Takzim (JDT) dalam Piala Malaysia pada Sabtu merupakan hari paling gelap dalam sejarah kelab.

Mereka yang tersingkir dengan agregat 1-15 sememangnya sukar untuk diterima penyokong kelab Pantai Timur itu yang semakin kecewa dengan keadaan kelab.

Bagi mereka, kekalahan itu berpunca daripada pengurusan pemilik kelab, Norizam Tukiman yang sering membuat keputusan sehingga merugikan kelab.

Isu pembayaran gaji sejak awal musim merupakan salah satu masalah sering ditekankan sehingga pemain dan kakitangan kejurulatihan meninggalkan skuad The Red Warriors (TRW).

Perkara berkenaan menyebabkan Kelantan FC terpaksa menurunkan pemain muda dalam beberapa perlawanan kebelakangan ini akibat sekatan terhadap proses pendaftaran baru-baru ini.

Jadi, dalam menyelesaikan hal itu, penyokong mengharapkan agar Norizam atau lebih dikenali sebagai Zamsaham melepaskan sahamnya sebagai pemilik.

IMG_2406

Vida pernah disebut-sebut sebagai pemilik baharu Kelantan FC. Stadium Astro

Sebelum ini, terdapat dua individu yang disebut-sebut sebagai calon untuk menggantikannya, iaitu Datuk Seri Hasmiza Othman dan wakil dari Erfan Gym & Fitness.

Hasmiza, atau lebih dikenali sebagai Datuk Vida sememangnya cukup terkenal dalam kalangan peminat bola sepak tanah air memandangkan dia pernah menjadi penaja Kelantan FC pada 2016.

Bagaimanapun, masih tiada kata putus antara usahawan kosmetik itu dengan Norizam meskipun perbincangan sering diadakan beberapa bulan kebelakangan ini.

Pemilik Erfan Gym & Fitness pula dikatakan semakin hampir untuk bergelar rakan kongsi memandangkan kedua-dua pihak sering bertemu sebelum ini.

Namun, sehingga kini, mereka juga masih bertemu kata buntu mengenai proses pengambilaihan dengan Norizam terus meminta dokumen tambahan daripada individu terbabit.

Tetapi, baru-baru ini, muncul seorang lagi usahawan yang menyuarakan hasrat untuk bergelar pemilik baharu Kelantan FC selepas kekalahan memalukan di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada Sabtu.

334445368_1559203677921489_5815461766287673239_n

Kamal Hisham difahamkan mempunyai sebuah firma guaman yang cukup terkenal. Facebook/Kamal Hisham Jaafar JFK

Kamal Hisham Jaafar yang merupakan seorang peguam dan pemilik firma guaman Kamal Hisham & Associates menyatakan minat itu dalam satu hantaran di Facebook peribadinya.

"Saya sedang kaji nak beli TRW jika harganya munasabah," tulisnya yang sekali gus mencuri perhatian penyokong kelab Pantai Timur berkenaan.

Hasrat tersebut turut disedari Norizam yang memberi jawapan terhadap hantaran ringkas tersebut menerusi satu lagi hantaran di Facebook.

"Setakat ni, saya belum terima apa-apa bukti pelan penambahbaikan dan bukti kewangan dari yang berminat. Kalau bersungguh-sungguh, boleh telefon dan berbincang.

"Hutang lama atau baharu di Kelantan FC, saya akan selesaikan. Cuma, pembeli bayar sekurang-kurangnya modal yang dah saya keluarkan selama empat musim ini termasuk bayarkan semula hutang Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa)," katanya.

Berdasarkan perkembangan terbaru, Norizam sudah menyelesaikan tunggakan gaji, namun difahamkan masih terdapat konflik dari segi tunggakan pembayaran caruman. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram