Ledak 2 gol debut untuk Perfect 10 JDT, Kuni disamakan dengan penyerang berbisa Harimau Selatan


  • Podium
  • Sabtu, 19 Ogos 2023

Kuni memulakan kariernya bersama JDT dengan cukup baik apabila menjaringkan dua gol ketika bertemu Kelantan FC. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

JOHOR Darul Takzim (JDT) sekali lagi memecahkan rekod tersendiri apabila meraih antara kemenangan terbesar dalam Piala Malaysia selepas menundukkan Kelantan FC dengan keputusan 10-0.

Keputusan itu menyaksikan mereka mara ke suku akhir pertandingan tersebut dengan agregat 15-1 selepas turut meraih kejayaan bergaya di tempat lawan tempoh hari.

Perhatian pastinya diberikan kepada pemain import baharu, Takehiro Kunimoto yang diturunkan buat pertama kali sejak diperkenalkan awal bulan lalu.

Dia yang dikatakan mempunyai kebolehan untuk menggantikan tempat Leandro Velazquez seperti tidak kekok untuk menyesuaikan diri sejak minit pertama permainan.

Selain cukup yakin ketika mengawal bola, pemain kelahiran Jepun itu turut beberapa kali melakukan hantaran berkualiti yang amat mengelirukan benteng pertahanan skuad The Red Warriors (TRW).

368624350_863529398476371_5624809641231719998_n

Heberty merupakan seorang lagi pemain yang tidak menunggu lama untuk menyesuaikan diri dengan JDT. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Tidak cukup dengan itu, Kunimoto, atau juga dikenali sebagai 'Kuni' juga tidak perlu menunggu lama untuk membuka akaun jaringannya bersama skuad Harimau Selatan.

Pada minit ke-24 dan ke-37, pemain terbabit tenang menewaskan penjaga gol lawan, Johan Shahzidane Tendot dengan kedua-duanya merupakan jaringan yang cukup berkualiti.

Tetapi, dengan JDT sudah memiliki kelebihan cukup besar, Kunimoto kemudiannya dikeluarkan pada separuh masa kedua untuk memberikan minit permainan buat rakan sepasukannya yang lain.

Debutnya itu pasti sukar untuk dilupakan dengan seorang penyokong kelab Selatan tanah air tersebut, Shary Ima mula membandingkannya dengan seorang lagi bintang import mereka, Heberty Fernandes.

"Kunimoto ni macam Heberty, dalam waktu yang singkat dapat sesuaikan diri dengan pemain JDT. Tenang bawa bola dan meraih gol," tulisnya di ruangan komen Facebook.

Pada jendela perpindahan yang lalu, skuad Harimau Selatan diperkuatkan dengan kehadiran kedua-dua pemain tersebut dengan masing-masing mempunyai peranan tersendiri.

Ketika ini, Heberty turut mempunyai rekod cemerlang apabila dia sudah enam gol dengan separuh daripadanya hadir dalam saingan Liga Super. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram