PROGRAM pembangunan bola sepak negara sering dikritik kerana gagal memberikan saingan di peringkat antarabangsa setiap kali perlawanan diadakan.
Tubuh badan pemain yang kecil, asas permainan kurang meyakinkan serta ketiadaan kesefahaman antara satu sama lain merupakan isu yang sering ditekankan setiap kali perbincangan dibuat.
Situasi berkenaan jelas menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) yang berlangsung sejak 2014.
Antara hal-hal sering dibangkitkan adalah berkaitan hala tuju graduan yang sudah menamatkan pengajian dan memasuki usia matang dalam sukan itu.
Untuk menjawab tanda tanya berkenaan, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) memilih untuk membangunkan sebuah pasukan berkonsepkan pembangunan akar umbi pada 2020.
Perubahan terhadap struktur bola sepak negara awal musim lalu menyaksikan pasukan terbabit diletakkan dalam Piala MFL untuk bertemu skuad belia kelab-kelab Liga Super.
Namun, skuad kendalian Noor Zaidi Rohmat itu sekali lagi gagal memberikan persembahan terbaik apabila mereka hanya menamatkan saingan Kumpulan A di tangga ketujuh daripada lapan pasukan.
Rekod itu sekali gus membuatkan orang ramai tertanya-tanya mengenai tujuan kedua-dua badan induk sukan negara itu untuk memperkenalkan skuad Projek FAM-MSN.
Di samping gagal menampilkan hasil sejak diperkenalkan, kegagalan untuk melahirkan pemain berkualiti turut menjadi hujah daripada orang ramai untuk mempertikaikannya.
Tetapi, dakwaan sebegitu adalah tidak tepat memandangkan terdapat tiga produk pasukan berkenaan yang sudah mencipta nama dalam Liga Super musim ini.
1. Safwan Mazlan
Tidak boleh dinafikan bahawa skuad Sang Penyu musim ini gagal mengulangi rekod cemerlang di posisi pertahanan seperti mana diraih pada 2022.
Perubahan pemain serta pendekatan taktikal yang berbeza menyebabkan Terengganu FC dibolosi sebanyak 23 kali dalam Liga Super selepas mengharungi 20 perlawanan.
Namun, situasi di barisan pertahanan itu tidak memberikan satu kegusaran buat ketua jurulatih, Tomislav Steinbruckner yang masih berani untuk melakukan eksperimen tersendiri.
Ini termasuk keputusan untuk memberikan minit permainan terhadap pemain berusia 21 tahun, Safwan Mazlan yang mencuri nama ketika bersama skuad B-23 negara sebelum ini.
Safwan dibawa masuk ke dalam skuad muda Sang Penyu pada 2022. — Facebook/Terengganu FC
Dalam saingan Liga Super, pertahanan muda berkenaan diberikan 13 penampilan secara keseluruhan, termasuk lima dalam kesebelasan utama.
Peluang terbabit diberikan memandangkan Safwan mampu beraksi sebagai seorang bek tengah mahupun bek kanan dengan dia cukup mahir dalam melakukan hantaran.
Meskipun ramai yang berpendapat pemain berjersi no 24 itu merupakan hasil skuad belia Terengganu FC, sangkaan tersebut adalah kurang tepat memandangkan dia pernah beraksi bersama skuad Projek FAM-MSN.
Safwan memilih untuk menyertai kelab Pantai Timur terbabit pada musim lalu dengan keputusan itu boleh dianggap sebagai sesuatu yang tepat buat kariernya.
2. Muhaimin Izuddin Asri
Sejak awal musim lalu, suasana kurang harmoni antara pihak pengurusan, staf kejurulatihan dan pemain di Kelantan FC sering menjadi bahan bualan peminat bola sepak negara.
Hal berkenaan menyaksikan berlakunya perubahan yang terlalu kerap terhadap jawatan pengendali pasukan dengan ketua jurulatih ketika ini, Alfredo Vera merupakan individu ketiga memikul tanggungjawab tersebut.
Bagaimanapun, antara semua nama yang dilantik, terdapat persamaan menarik apabila mereka sering meletakkan harapan terhadap pemain muda, Muhaimin Izuddin Asri.
Muhaimin (kiri) sering memberikan aksi terbaik setiap kali diturunkan. — Facebook/TRW Kelantan FC
Kebolehannya untuk beraksi di pelbagai posisi serangan memberikan satu kelonggaran buat pihak kejurulatihan untuk merencanakan gerakan berbahaya.
Berdasarkan rekod dalam Liga Super, ubi muda berusia 21 tahun itu sudah diturunkan sebanyak 15 kali dengan hampir separuh daripadanya merupakan penampilan bersama kesebelasan utama.
Walaupun masih belum memberikan sumbangan di hadapan pintu gol, kelincahan dan kebolehan Muhaimin untuk melakukan hantaran merupakan aset utama dimilikinya.
Pencapaian itu sedikit sebanyak mengharumkan nama skuad Projek FAM-MSN memandangkan dia merupakan salah seorang graduan pasukan berkenaan sebelum menyertai Kelantan FC.
3. Faris Izdiham
Awal musim lalu, skuad The Bos Gaurus (TBG) memilih untuk membawa masuk beberapa pemain muda untuk menepati pendekatan taktikal bekas ketua jurulatih, Datuk Lim Teong Kim.
Selain mencari bakat-bakat berpotensi dalam pasukan Liga Super, Perak FC turut memilih untuk mengasah ubi-ubi muda dari skuad Projek FAM-MSN.
Antara yang dipanggil untuk menyertai kelab Utara tanah air itu ialah pemain tengah berusia 22 tahun, Faris Izdiham dengan harapan kebolehannya dapat dipertingkatkan.
Tetapi, taktikal Teong Kim yang tidak sesuai dalam Liga Super menyebabkan skuad TBG tergelincir daripada landasan sebelum khidmatnya ditamatkan lebih awal.
Faris mula diberikan minit permainan lebih kerap sepanjang berada di bawah bimbingan Yusri. — Facebook/Perak FC
Persoalan mula timbul mengenai nasib pemain-pemain yang dibawa masuk memandangkan penggantinya, Yusri Che Lah dilihat mempunyai pendekatan tersendiri.
Namun, bagi Faris, penggantian ketua jurulatih itu merupakan satu rahmat buatnya memandangkan dia kini semakin yakin untuk turun beraksi.
Hal itu dapat disaksikan apabila pemain berkenaan tampil dalam kesemua lima perlawanan terakhir buat Perak FC termasuk ketika perlawanan pertama Piala Malaysia menentang Kedah Darul Aman F yang menyaksikan Sang Seladang menang 3-1 di laman sendiri.
Kepercayaan berkenaan membuktikan bahawa skuad Projek FAM-MSN bukanlah sesuatu yang amat merugikan dengan Faris boleh dianggap sebagai salah seorang produk terbaik mereka. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram