PERUBAHAN terhadap pemilihan pemain dan pendekatan taktikal tidak membuahkan hasil seperti mana diharapkan buat Penang FC dalam aksi timbal balik Piala Malaysia kepada Kuala Lumpur (KL) City FC di tempat lawan pada Jumaat.
Meskipun skuad Warga Kota terpaksa bermain dengan 10 pemain sejak minit ke-15, ketumpulan barisan serangan skuad Harimau Kumbang mengakibatkan mereka gagal memanfaatkan kelebihan itu.
Lebih mengecewakan lagi, pasukan Utara tanah air itu dihukum pada penghujung permainan apabila penyerang tuan rumah, Tchetche Kipre mudah menghukum kelekaan benteng pertahanan.
Situasi itu hanya akan memberikan tekanan terhadap pihak pengurusan memandangkan Penang FC berada dalam prestasi cukup merisaukan musim ini.
19 mata yang dikumpul selepas 19 perlawanan menyaksikan mereka berada di kedudukan kesembilan dengan Perak FC semakin merapati memasuki penghujung musim.
Dalam saingan Piala FA sebelum ini, mereka turut berdepan nasib sama apabila disingkirkan juaranya, Johor Darul Takzim (JDT) di tempat lawan dengan keputusan 0-5.
Jadi, dengan penyingkiran awal dari Piala Malaysia, penyokong dijangka akan semakin berang dengan hala tuju pasukan yang semakin samar saban hari.
Abdul Abdeen gagal memberikan impak terhadap barisan serangan skuad Harimau Kumbang. — Facebook/Penang FC
Tidak cukup dengan itu, tekanan turut diberikan terhadap semangat serta persembahan pemain untuk setiap hari perlawanan baik dalam kalangan import mahupun tempatan.
Perkara berkenaan dapat disaksikan ketika kekalahan di Stadium Cheras, KL dengan peminat setia Penang FC mempersoalkan kebolehan import baharu mereka, Abdul Abdeen Temitope.
Ia diluahkan menerusi satu hantaran di akaun Facebook Karya Orang Kitahhh yang mengajukan kritikan terhadap pemain berusia 28 tahun itu.
"Sentuhan pertama tidak kemas, sering berada jauh dari posisi asal, ofsaid tidak terkira. Dah tiga perlawanan pun main merapu, takkan awal lagi kot?
"Inikah penyerang yang akan pikul tanggungjawab sehingga penghujung musim? Tak tahu siapa yang cerdik tinjau bakat seperti dia ni?" soal penyokong itu.
Abdul Abdeen sebelum ini dibawa masuk untuk menggantikan pemain kelahiran Brazil, Giovane Gomes yang meninggalkan skuad Harimau Kumbang ketika jendela perpindahan yang lalu.
Khidmatnya ditagih selepas menyerlah di liga teratas Albania bersama KF Skenderbeu apabila dia menjaringkan 12 gol dalam 24 penampilan.
Setakat ini, penyerang kelahiran Republik Ireland itu sudah terlibat dalam tiga aksi bersama Penang FC dengan dua daripadanya hadir ketika aksi Piala Malaysia.
Bagaimanapun, Abdul Abdeen masih dalam usaha menyesuaikan diri dalam Liga Malaysia memandangkan dia masih belum meraih sebarang sumbangan di hadapan pintu gol lawan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram