Sabah FC tepati ramalan, tapi 'defend' Sang Badak buat fans risau


  • Podium
  • Sabtu, 19 Ogos 2023

Barisan pemain Sabah FC semasa memanaskan badan sebelum perlawanan menentang Kuching City FC pada Sabtu. — Facebook/SabahFC

SABAH FC menetapi ramalan layak ke suku akhir Piala Malaysia 2023 apabila menang secara agregat 4-1 ke atas Kuching City FC meskipun hanya seri 1-1 ketkia aksi kedua pusingan 16 di laman sendiri pada Sabtu.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah itu, skuad Sang Badak membuka tirai jaringan menerusi gol daripada pertahanan kanannya, Rizal Ghazali pada minit ke-27.

Aksi separuh masa pertama bagaimanapun berlangsung dengan agak perlahan apabila Sabah FC dilihat menurunkan intensiti perlawanan memandangkan defisit besar tiga jaringan yang dimilikinya.

Memasuki babak kedua, Kuching City FC dilihat beberapa kali berjaya melepasi barisan pertahanan tuan rumah untuk mencipta peluang jaringan.

Hasilnya, pasukan pelawat akhirnya dapat mencetak gol sagu hati bagi menyamakan kedudukan menerusi tandukan pemain pertahanan pasukan, Rames Lai Ban Huat, pada minit ke-57.

Keputusan jaringan itu kekal hingga tamat perlawanan dengan cubaan Sabah FC untuk menambah jaringan menerusi beberapa percubaannya gagal membuahkan hasil.

Di sebalik keputusan positif yang dicatatkan itu, penyokong Sabah FC dilihat tidak mudah sepenuhnya berpuas hati dengan prestasi dipamerkan anak buah Datuk Ong Kim Swee.

Antara kelemahan yang disentuh pada aksi tersebut adalah mengenai kestabilan benteng pertahanan pasukan yang disifatkan masih belum begitu meyakinkan.

Kerisauan itu sememangnya berasas memandangkan saingan di peringkat suku akhir nanti pastinya bakal menjanjikan cabaran lebih sengit daripada pihak lawan.

"Bahaya pertahanan Sabah ni, pihak lawan boleh score nanti," ujar Seffie Sp.

"Lawa Sabah main kali ni, cuma pertahanan ada kesilapan sikit. Tidak mengapa, boleh perbaiki lagi," ujar Rayner Rain.

"Sejak Aidil Sharin (ketua jurulatih) masuk Kuching City FC, corak permainan pasukan lawa. Main short pass. Beberapa kali kali pertahanan Sabah FC terperangkap. Well done Kuching City FC," kata Syrlnzm Zam.

Sabah FC akan bertemu Perak FC dalam saingan peringkat suku akhir Piala Malaysia 2023 dengan perlawanan pertama bakal berlangsung pada 15 September depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram