PENANG FC terpaksa melupakan hasrat ke suku akhir Piala Malaysia 2023 selepas ditewaskan oleh Kuala Lumpur (KL) City FC pada pusingan 16 aksi tersebut.
Dengan agregat 5-0, KL City FC menempah tiket ke suku akhir Piala Malaysia walaupun hanya beraksi dengan 10 pemain selepas pemain pertahanan KL City, Giancarlo Gallifuoco dilayangkan kad merah seawal minit ke-15 perlawanan.
Bagaimanapun, ia tidak menghalang The City Boys melakar kemenangan dalam aksi timbal balik di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Jumaat.
Bagaimanapun, bukan sahaja tewas dalam aksi Piala Malaysia, malah ketika pusingan kedua Liga Super 2023, Harimau Kumbang juga tewas di tangan Perak FC dengan keputusan 1-3 di laman pihak lawan pada 9 Ogos lalu.
Antara aksi menarik pemain KL City dan Penang FC. — Instagram/officialpenangfc
Namun begitu, kekalahan di tangan Johor Darul Takzim (JDT) yang berakhir dengan keputusan 0-2 saingan Liga Super 2023 pada 3 Jun lepas menarik perhatian bekas legenda Penang.
Kekalahan tersebut yang mendapat reaksi legenda Penang, Merzagua Abderrazak mendedahkan kelemahan utama skuad Harimau kumbang.
Legenda Penang dengan gelaran 'Great Merz' itu mengatakan bahawa Penang FC dilihat kurang persediaan dari segi teknikal dan taktikal.
"Untuk musim ini, saya hanya berkesempatan menonton perlawanan antara Penang menentang JDT.
"Bagi saya, kelemahan utama Penang FC sama ada dari segi teknikal, taktikal mahupun fizikal adalah kerana kurang persediaan," katanya kepada Majoriti.
Di samping itu, Merzagua juga memberi pandangan mengenai pasukan gergasi tanah air, Johor Darul Takzim (JDT) FC yang sentiasa memberikan persembahan terbaik dalam setiap perlawanan.
"Jika dibandingkan dengan JDT, pemain Penang kurang dari segi fokus, keyakinan dan persefahaman antara mereka," jelasnya.
Dalam pada itu, Merzagua turut berkongsi kata-kata semangat kepada pengendali Harimau Kumbang, Manzoor Azwira di atas kerja keras dan usahanya membantu Penang FC.
"Saya ada berjumpa dengan Manzoor selepas perlawanan dan mengucapkan semoga berjaya kerana usahanya kepada pasukan Penang," kongsinya.
Untuk rekod, Merzagua pernah kembali ke pasukan berpangkalan di Utara tanah air itu sebagai jurulatih yang mana pihak pengurusan melantiknya sebagai pengendali baharu pada musim 2012.
Di bawah kendalian Merzagua, Pulau Pinang beraksi dengan sangat baik, malah berjaya menjuarai saingan Piala FAM seterusnya layak untuk beraksi di Liga Perdana pada musim 2014.
Ketika ini, skuad Harimau Kumbang berada di kedudukan ke-10 dengan mengutip 19 mata selepas 19 perlawanan berlangsung.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram