Tiket final Piala Malaysia KDA lawan JDT habis, MB pernah larang ‘tiket bedak’ untuk ahli politik


  • Podium
  • Sabtu, 19 Ogos 2023

Aksi Kedah tewas 0-2 di tangan JDT pada final Piala Malaysia 2017. — Bernama

PERJALANAN Piala Malaysia Kedah Darul Aman (KDA) musim ini terhenti selepas tewas 3-4 secara agregat kepada Perak FC meskipun mencatat kemenangan 2-1 pada aksi kedua pusingan 16 pada Jumaat.

Keputusan tersebut sekali gus merencatkan rancangan Kedah untuk kembali menjadi finalis kejohanan itu apabila kali terakhir mereka melangkah ke pentas final pada musim 2019 namun tewas di tangan Johor Darul Takzim (JDT).

Saingan Piala Malaysia antara kejuaraan yang sering menyaksikan Sang Kenari melangkah ke pusingan akhir dan KDA FC merekodkan sebanyak sembilan kali ke final dan lima daripada ditabalkan sebagai juara Piala Malaysia.

Dalam kesemua final itu, aksi menentang JDT pada musim 2017 menimbulkan kontroversi apabila ribuan penyokong Kedah berkumpul di hadapan pejabat Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) di Stadium Darul Aman bagi menyatakan kekecewaan kerana tidak dapat membeli tiket perlawanan akhir tersebut.

Difahamkan sebelum aksi final yang menyaksikan Kedah tewas 0-2 di tangan JDT tersebut, sebanyak 10,000 tiket telah habis dijual pada 10 pagi ketika itu walaupun empat kaunter dibuka awal sejam.

mukhirz

Mukhriz memberitahu isu tersebut ketika Malam Ambang 100 hari Pakatan Harapan (PH) pada 2018. — Bernama

Berdasarkan laporan media ketika itu, tiket final Piala Malaysia habis dijual berikutan terdapat amalan 'bedak' (agih) tiket kepada ahli politik sehingga menyebabkan penyokong tegar pasukan Kedah tidak dapat menyaksikan aksi penting berkenaan.

Sehubungan kontroversi tersebut, Presiden KFA ketika itu, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir menegaskan tiada lagi amalan 'bedak' tiket kepada ahli politik.

Menurut laporan media pada 19 Ogos 2018, keputusan itu diambil bagi memastikan peristiwa memalukan pada 2017 iaitu tiket perlawanan akhir Piala Malaysia antara Kedah dan JDT itu tidak berulang.

"Apa sebabnya.. kerana sebahagian tiket itu telah 'dibedak' oleh ahli politik untuk diberikan sebagai sagu hati kepada penyokong mereka di setiap daerah sedangkan mereka bukan peminat tegar sukan bola sepak.

"Ini amat memalukan... bayangkan perasaan kecewa penyokong KFA yang tidak pernah terlepas menonton satu pun perlawanan tapi tahun lepas dianaktirikan, tak diberi peluang untuk membeli tiket," katanya memetik laporan media ketika itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram