[VIDEO] Sempat bergurau dengan anak buah bukti kehadiran Yusri titik perubahan skuad TBG


  • Podium
  • Sabtu, 19 Ogos 2023

Yusri Che Lah diberikan peranan untuk membimbing skuad TBG bagi menggantikan Teong Kim pertengahan musim lalu. — Facebook/Perak FC

MESKIPUN mengalami kekalahan 1-2 ketika aksi timbal balik Piala Malaysia kepada Kedah Darul Aman (KDA) FC, skuad The Bos Gaurus (TBG) masih boleh tersenyum.

Agregat 4-3 yang berpihak kepada Perak FC itu memastikan pasukan berkenaan mara ke suku akhir pertandingan tersebut buat pertama kali sejak 2019.

Lebih manis lagi, kejayaan tersebut berpunca daripada kebangkitan yang dipamerkan pasukan itu selepas jaringan Seo Seon-ung mengembalikan kelebihan buat mereka setelah ketinggalan kepada KDA FC menerusi gol Manuel Hidalgo dan Akmal Zahir.

Pencapaian itu pastinya sukar untuk dilupakan penyokong memandangkan majoriti daripada mereka pada awalnya berasakan kelab Utara tanah air berkenaan tidak mempunyai peluang untuk mara.

Prestasi mengecewakan pada awal musim menyaksikan mereka terus bergelut di kelompok lima pasukan terbawah Liga Super dengan hanya empat kemenangan diraih.

Tidak cukup dengan itu, skuad Sang Kenari juga dikatakan mempunyai potensi lebih cerah untuk menempah tiket ke peringkat suku akhir Piala Malaysia melihat kepada kualiti pemain dimiliki.

368587325_306461798600869_8296540342216614460_n

Jaringan lewat Seo Seon-ung memastikan kemaraan berpihak buat skuad TBG. Facebook/Perak FC

Bagaimanapun, dengan kemaraan berjaya diraih Perak FC, peminat setia pasukan itu mula meraikan perubahan positif itu dengan mengatakan perubahan ketua jurulatih merupakan kunci di sebalik pencapaian itu.

Kehadiran Datuk Lim Teong Kim pada awalnya memberikan satu gambaran bahawa skuad TBG berada dalam landasan yang tepat memandangkan jurulatih itu mempunyai pengalaman cukup luas.

Tetapi, berikutan prestasi merudum sejak awal musim, pihak pengurusan memilih untuk menggugurkannya sebelum digantikan dengan bekas pengendali pasukan, Yusri Che Lah.

Jurulatih berusia 47 tahun itu sebelum ini mempunyai rekod kurang memberangsangkan buat Perak FC ketika dia membimbing kelab terbabit musim lalu.

Namun, sejak diberikan tugasan itu pada Mei lalu, anak jati Kangar, Perlis tersebut memberi nafas baharu buat skuad TBG dengan ia cukup menggembirakan penyokong kelab berkenaan.

Tidak terkecuali untuk menzahirkan perasaan itu ialah pemain di atas padang yang tampak lebih bermotivasi sepanjang berada di bawah kendalian Yusri.

Hal itu dapat disaksikan selepas perlawanan di Stadium Darul Aman, Kedah pada Jumaat ketika jurulatih itu sempat mengusik penjaring terbanyak Perak FC, Seo Seon-ung.

Penyerang kelahiran Korea Selatan yang ketika itu ditemu bual wartawan Astro Arena, Karl Iskandar Nunis didatangi Yusri yang kebetulan berada di belakangnya.

"Ini Kim Jong-kook saya," kata jurulatih itu merujuk kepada personaliti terkenal dari negara berkenaan yang cukup popular menerusi drama Running Man.

Keadaan itu mengakibatkan kedua-dua individu berkenaan hanya tersenyum dan bergelak ketawa sambil kelihatan beberapa pemain dan staf kejurulatihan lain sedang sibuk meraikan kemaraan mereka ke suku akhir Piala Malaysia.

Perak FC akan berdepan Sabah FC atau Kuching City FC dalam peringkat berikutnya dengan kedua-dua pasukan itu bakal berentap untuk merebut slot itu pada Sabtu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram