YCL gagal tahan sebak bawa Perak ke suku akhir, Nafuzi akui kesilapan sendiri punca tewas


  • Podium
  • Sabtu, 19 Ogos 2023

Aksi pemain Perak menentang KDA FC dalam Piala Malaysia di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada Jumaat. — Facebook/PerakFC

KEMENANGAN 2-1 di laman sendiri tidak dapat menyelamatkan Kedah Darul Aman (KDA) FC daripada tersingkir Piala Malaysia selepas tewas secara agregat 3-4 di tangan Perak FC pada Jumaat.

Perak yang bertandang ke Stadium Darul Aman dengan kelebihan dua gol pada awalnya mempunyai peluang tipis untuk mara selepas sepakan penalti Manuel Hidalgo dan jaringan Akmal Zahir diraih dalam aksi kedua itu.

Namun kesilapan penjaga gawang Kedah, Kalamullah Al-Hafiz yang gagal menangkap bola dengan kemas akhirnya membuka peluang kepada import Korea Selatan, Seo Seon-ung membawa Perak ke suku akhir.

Kesungguhan pemain Perak untuk mara ke pusingan kedua ini jelas apabila anak-anak buah Yusri Che Lah kekal beraksi dengan cemerlang walaupun bermain dengan 10 orang pemain pada separuh masa kedua.

Kerja keras pemain The Bos Gaurus (TBG) itu juga dipuji oleh pengendali mereka, Yusri yang mengatakan bahawa usaha barisan pemainnya itu penyumbang atas kejayaan mereka tersebut.

yusri dalam

Yusri dilantik sebagai ketua jurulatih Perak musim ini bagi menggantikan Datuk Lim Teong Kim. — Facebook/PerakFC

“Syukur kepada ALLAH SWT kerana memberi kami kemenangan malam ini walaupun kami tidak beraksi dengan cukup baik. Tahniah kepada pasukan Kedah yang memberi tekanan daripada awal.

“Kehendak ALLAH tiada siapa boleh menidakkannya. Budak saya bekerja keras untuk dapatkannya walaupun kami kekurangan pemain. Sekali lagi ucapan tahniah kepada pemain saya, pihak pengurusan dan isteri tercinta di rumah bersama anak-anak,” katanya memetik video yang dimuat naik Astro Arena selepas perlawanan.

Dalam pada itu, pengendali Sang Kenari, Nafuzi Zain pula tidak menolak kesilapan pemain Sang Kenari sendiri menjadi punca KDA FC gagal mara ke pusingan kedua Piala Malaysia.

“Tahniah untuk Perak kerana melangkah ke seterusnya, Saya rasa malam ini saya tak tahu nak cakap apa. Saya rasa in term of games dari awal minit sehingga 90 minit, pemain dah beri kualiti yang baik.

“Saya rasa kesilapan sendiri kita beri Perak layak. Kita mencuba, kita bermain dari awal dengan semangat dań keinginan untuk menang tetapi akhirnya kita buat mistake. Jadi saya kecewa,” jelasnya.

Bagi peringkat suku akhir nanti, Perak bakal bertemu di antara Sabah FC ataupun Kuching City FC yang bakal beraksi pada Sabtu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram