Kalamullah tidur tak lena, cakar Sang Kenari gagal tembus kulit keras Bos Gaurus


  • Podium
  • Jumaat, 18 Ogos 2023

Jaringan Seo Seon-ung di minit-minit akhir memastikan Perak FC meneruskan langkah ke suku akhir Piala Malaysia 2023. — Facebook/perakfc

PERAK FC meneruskan kejutan dalam Piala Malaysia apabila menyingkirkan Kedah Darul Aman (KDA) FC di peringkat pertama selepas menumpaskan mereka dengan agregat 4-3 di laman pihak lawan.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Darul Aman, Kedah menyaksikan KDA FC dimalukan oleh pasukan pelawat yang dilihat memberikan tekanan kepada skuad Sang Kenari.

Pasukan Perak memberi tekanan kepada Kedah FC apabila seawal babak pertama apabila skuad Seladang membuka jaringan pada minit ke-12 menerusi Luka Milunovic, namun ia dibatalkan akibat didapati berada dalam kedudukan ofsaid.

perakj

Sebahagian aksi menarik antara pemain skuad Seladang dan Sang Kenari. — Facebook/perakfc

Kedah kemudiannya memperolehi jaringan pertama menerusi sepakan penalti yang disempurnakan dengan baik oleh Manuel Hidalgo pada minit ke-28 untuk merapatkan perbezaan gol dengan agregat 2-3.

Perlawanan semakin panas selepas pengadil perlawanan melayangkan kad merah kepada pemain gantian, Khairul Asyraf pada minit ke-55 yang dilihat melakukan kekerasan kepada salah seorang pemain Sang Kenari.

Memasuki penghujung perlawanan, Kedah FC menyamakan agregat 3-3 disusuli dengan kelebihan dua jaringan di tempat sendiri selepas Akmal Zahir menambah jaringan kedua pada minit ke-82 menerusi rembatan luar kotak.

Tdak mahu menghampakan penyokong Seladang, Seo Seon-ung mengambil kesempatan di atas kesilapan penjaga gawang Kedah, Kalamullah Al-Hafiz yang gagal menangkap bola dengan kemas, sekali gus memberi peluang kepada import Korea Selatan itu mencetak gol ketika perlawanan berbaki beberapa minit saja lagi.

Gol itu sudah cukup memastikan Perak FC meneruskan langkah ke suku akhir Piala Malaysia 2023 dengan agregat 4-3.

Kekalahan tipis itu membuatkan ramai penyokong Hijau Kuning tidak berpuas hati dengan persembahan yang ditampilkan oleh penjaga gol Kedah FC itu.

"Menang dalam duka, keeper buat bertambah luka," kata Anis Ariffin.

"Keeper nak tangkap burung wak wak pula dah, naya lah macam ni," kata Muhamad Aizat Ijat.

"Kesilapan keeper Kedah, seluruh pasukan berduka. Fokus liga saja lah macam ni," kata Hadie Dali.

Kekalahan itu menambah duka Kedah yang sudah tersingkir saingan Piala FA kepada Penang FC sebelum ini.

Hanya kempen Liga Super menjadi pengubat duka untuk merebut slot Piala AFC musim depan dengan perlu merebut tempat kedua yang kini dihuni Selangor FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram