TUGAS sukar melanda kem Penang FC dalam misi kebangkitan selepas berdepan masalah kecederaan pemain utama.
Ketua jurulatih Penang FC, Chong Yee Fatt berkata, dia terpaksa melakukan sedikit rombakan dalam kesebelasan utama akibat masalah kecederaan menjelang perlawanan kedua menentang Kuala Lumpur City FC (KL City) pada Jumaat.
"Mungkin ada beberapa perubahan dalam kesebelasan utama kerana Azmeer Aris mengalami sedikit kecederaan, Hadin Azman dan beberapa pemain turut masih dalam pemantauan barisan kejurulatihan.
"Saya harap menjelang hari perlawanan (Sabtu) mereka sudah pulih dan cergas untuk beraksi," katanya kepada Astro Arena.
Yee Fatt (dua dari kanan) terpaksa melakukan rombakan dalam kesebelasan utama akibat masalah kecederaan. — Facebook/Penang FC
Walaupun berhadapan tugas sukar untuk mencipta keajaiban, Yee Fatt mahu anak-anak buahnya turun tanpa rasa tertekan dan bermain seperti biasa.
"Kami ketinggalan 0-4, jadi saya cakap kepada pasukan supaya beraksi tanpa tekanan tetapi kita ada kerja yang perlu diselesaikan.
"Apa-apa boleh berlaku dalam bola sepak, jika anda ada peluang kita boleh melakukan sesuatu tetapi kita harus turun ke padang bermain dan melakukan terbaik dalam perlawanan," ujarnya.
Al-Hafiz mahu rakan sepasukan kekal fokus dan elak beraksi dalam tekanan. — Facebook/Penang FC
Dalam pada itu, pemain sayap Penang FC, Muhammad Al-Hafiz Harun turut bersetuju dengan Yee Fatt yang berharap pemain Harimau Kumbang kekal fokus dan elak beraksi dalam tekanan.
"Memang susah sebab kita dah kena 0-4 tetapi apa yang sudah diberi oleh coach (Yee Fatt) kami akan buat sebaik mungkin.
"Dalam 90 minit apa-apa pun boleh terjadi dalam bola sepak, mungkin ada rezeki janji kita (Penang) buat sebaik mungkin dan buang segala tekanan walaupun dalam tiga perlawanan kami masih belum ada kemenangan," luahnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram