Chong Wei anggap Zii Jia bermasalah, hanya pentingkan diri


  • Podium
  • Khamis, 17 Ogos 2023

Chong Wei (kiri) berkata, Zii Jia hanya mementingkan diri sendiri kerana tidak mahu mengikut peraturan yang ditetapkan.

BEKAS pemain perseorangan badminton negara, Datuk Lee Chong Wei mengecam tindakan Lee Zii Jia dan jurulatihnya, Wong Tat Meng kerana menuduh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menindas pemain badminton bebas.

Chong Wei menyifatkan Zii Jia mementingkan diri sendiri dan bermasalah selepas menyatakan kekecewaan terhadap BAM yang menghalang pemain bebas berlatih di Akademi Badminton Malaysia (ABM) jika mereka tidak memakai pakaian daripada penaja yang sama dengan pasukan kebangsaan.

Pasukan kebangsaan kini ditaja oleh jenama peralatan sukan Jepun, Yonex manakala Zii Jia dibiayai oleh Victor.

"Zii Jia adalah satu-satunya pemain yang nampaknya mempunyai masalah dengan peraturan ini.

"Saya tidak nampak Rosman Razak dan pemain bebas di bawahnya seperti Ong Yew Sin atau Teo Ee Yi merungut tentang perkara ini.

"Zii Jia dan jurulatihnya cuba membuat perkara menjadi besar daripada isu kecil ini.

"Dia mementingkan diri sendiri kerana dia hanya memikirkan tentang dirinya dan bukan tentang BAM atau pemain lain," kata Chong Wei.

ABM

Akademi Badminton Malaysia.

"Dia memilih tinggalkan BAM dan kini mereka (BAM) memberinya peluang untuk berlatih di sana (ABM) sekali atau dua kali seminggu dan dia mahu menimbulkan masalah.

"Dia satu-satunya pemain yang mempunyai begitu banyak isu, satu demi satu.

"Saya tidak mahu mengulas mana-mana isu dia sebelum ini.

"Kalau nak masuk dan berlatih di ABM, kena ikut peraturan mereka.

"Jika dia tidak mahu bekerjasama, maka dia boleh memilih untuk tidak berlatih di sana," jelasnya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram