Mahu lebih tajam depan gol? 3 bekas rakan Ivan Mamut wajar dipertimbang musim depan


  • Podium
  • Jumaat, 18 Ogos 2023

Mamut kini sudah menjaringkan 10 gol buat TFC dalam saingan Liga Super. — Facebook/TFC

"MAKIN menjadi-jadi." Itulah ayat paling sesuai buat penyerang import Terengganu FC (TFC), Ivan Mamut yang semakin berbisa di hadapan gawang gol pihak lawan.

Dalam lima perlawanan terakhir Liga Super, Mamut berjaya menjaringkan enam gol serta satu assist yang mana ketika menentang Kelantan FC pada 14 Ogos lalu dia berjaya mencatatkan hatrik pertama musim ini.

Bersama Sang Penyu, Mamut sudah melakukan 20 penampilan dan menjaringkan 15 gol dalam semua kejohanan Liga Malaysia musim ini.

Namun sebelum Mamut menemui sentuhan jaringannya, dia terlebih dahulu dikecam oleh penyokong TFC kerana sering melepaskan peluang keemasan untuk menjaringkan gol.

Jika penyerang Croatia itu masih kekal sebagai penyerang utama TFC musim depan, Majoriti senaraikan tiga bekas rakan Mamut wajar pihak pengurusan bawa bagi membantu sekali gus memperkuatkan Sang Penyu.

Marko Tolic

Tolic musim ini beraksi bersama Slovan Bratislava. Agensi

1. Marko Tolic

Marko Tolic merupakan seorang pemain tengah menyerang yang beraksi di Liga Slovakia bersama Slovan Bratislava musim ini secara pinjaman daripada kelab gergasi Croatia, Dinamo Zagreb.

Baru mula musim baharu, Tolic sudah menjaringkan satu gol dalam tiga perlawanan Liga Slovakia manakala dia juga mencatatkan melakukan jaringan dalam kelayakan Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Tolic dan Mamut pernah beraksi bersama ketika mereka berdua mewakili NK Sesvete di divisyen kedua Liga Croatia.

Mamut dan Tolic merupakan penjaring terbanyak pasukan dengan menjaringkan lapan gol pada musim 2017/18.

Harga bagaimanapun mungkin jadi penghalang utama TFC untuk mendapatkan khidmat pemain berusia 27 tahun itu.

Serder Serderov

Serderov NK Istra pada musim 2022. NK Istra 1961

2. Serder Serderov

Serder Serderov merupakan bekas pemain kebangsaan B-21 Rusia yang beraksi di posisi penyerang.

Pemain berusia 29 tahun itu pernah beraksi bersama Mamut ketika di NK Inker dalam Liga Crotia pada musim 2019/2020.

Serderov ketika itu merupakan penjaring terbanyak NK Inker dengan sembilan jaringan manakala Mamut merupakan penyerang kedua yang merekodkan enam gol.

Musim ini, Serderov kembali ke negara kelahirannya dengan mewakili Dinamo Makhachkala di divisyen kedua Liga Rusia.

Serderov setakat ini belum menjaringkan sebarang gol apabila sudah mula diturunkan dalam tiga perlawanan liga.

Mlinar musim ini menyertai NK Istra di Liga Croatia. Agensi

3. Frano Mlinar

Jarang untuk kita melihat seorang pemain tengah bertahan mampu menjadi 'top assist' dalam pasukan yang diwakili mereka.

Namun tidak buat Frano Mlinar yang merekodkan 'top assist' semasa beraksi bersama Mamut dan Serderov di NK Inker dalam Liga Crotia pada musim 2019/2020.

Ketika itu Mlinar berjaya menyumbangkan tujuh 'assist' manakala Mamut dan Serderov turut tersenarai antara pemain yang melakukan bantuan gol.

Mlinar antara pemain utama dalam pelbagai peringkat umur skuad muda kebangsaan Croatia.

Musim ini Mlinar beraksi bersama NK Istra (Croatia) dan mempunyai pengalaman mewakili beberapa pasukan di Eropah seperti FC Aarau, FC Wil 1900 (Switzerland), Udinese Calcio (Itali), Mezokovesd Zsory FC (Hungary) dan selebihnya beberapa kelab di Croatia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram