Wujudkan 'Leagues Cup' edisi MFL-FAS? Ini pro-kontra Liga M andai jadi kenyataan


  • Podium
  • Rabu, 16 Ogos 2023

Antara aksi perlawanan di antara kelab Malaysia menentang kelab Singapura.

PENYOKONG bola sepak dunia hangat memperkatakan tentang Lionel Messi yang berjaya membawa Inter Miami ke pusingan akhir Piala Liga (Leagues Cup) buat pertama kali selepas menewaskan Philadelphia pada Rabu.

Messi turut tersenarai antara penjaring untuk membantu Inter Miami layak ke pentas akhir menentang Nashville SC pada Ahad.

Bagi anda yang tidak mengikuti Liga Amerika Syarikat, Leagues Cup ini sebenarnya kejohanan di antara dua liga terbesar di rantau Amerika Utara iaitu melibatkan Liga Mexico dan Amerika Syarikat.

Cruz Azul

Cruz Azul menjuarai edisi pertama Leagues Cup.

Ditubuhkan pada 2019, masih belum ada mana-mana pasukan dari Liga AS pernah memenangi kejohanan itu apabila dua edisi sebelum ini didominasi oleh kelab Mexico iaitu Cruz Azul (2019) dan Club Leon (2021) manakala 2020, 2022 dibatalkan kerana Covid-19 serta Piala Dunia 2022.

Menarik untuk kita saksikan kejohanan seperti ini yang mana dapat menarik penyokong daripada kedua-dua buah negara untuk terlibat dan memeriahkan lagi kejohanan.

Menjadi persoalan adakah Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) berminat untuk mengadakan piala serantau seperti ini bersama kelab-kelab Singapura yang mana kedudukan dua buah negara ini sama seperti Mexico-AS.

Jika MFL mahu wujudkan pertandingan seperti itu, Majoriti senaraikan pro-kontra untuk kelab Liga M serta kesan kepada ekosistem bola sepak Malaysia:

JDT v Niigata

JDT pernah menewaskan juara Liga Singapura 2022, Albirex Niigata dengan keputusan 5-1 di Stadium Sultan Ibrahim, Johor.

Pro:-

1. Nilai komersial

Nilai komersial Liga Super pasti akan meningkat jika MFL dan Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) mengadakan kejohanan seperti ini.

Sebagai contoh, kemeriahan Piala Sultan Selangor yang mana ramai penyokong membanjiri Stadium Shah Alam untuk menyaksikan perlawanan Selangor FC menentang Pilihan Singapura.

Dengan kemunculan piala seperti ini, penyokong dari Singapura akan dapat mengenali lebih dekat kelab-kelab Liga M secara tidak langsung pasukan di negara ini akan dapat penyokong dari luar negara.

2. Pengalaman berbeza

Kejohanan ini boleh mewujudkan persekitaran berbeza untuk pasukan Liga M yang sudah lama tidak beraksi menentang kelab luar negara dengan penuh kompetitif.

Ia juga pengalaman baharu untuk pasukan seperti Kelantan United FC, PDRM FC dan Kuching City yang tidak pernah menyertai kejohanan bertaraf antarabangsa seperti Piala AFC ataupun Liga Juara-Juara Asia (ACL).

Jadi dengan adanya piala seumpama Leagues Cup ia secara tidak langsung memberikan pendedahan dan pengalaman baharu buat mereka bertemu kelab seperti Albirex Niigata, Lion City Sailors, Tampines Rovers dan banyak lagi.

PSS

Selangor FC memenangi Piala Sultan Selangor pada 2019.

Kontra:-

1. Kewangan pasukan

Umum mengetahui pasukan Liga M sering dihimpit dengan pelbagai isu melibatkan tunggakan gaji yang tidak pernah selesai sehingga hari ini.

Tunggakan gaji ini sehingga memaksa FAM dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) masuk campur supaya Kelantan FC bertanggungjawab membayar gaji pemain dan jurulatih.

Dengan adanya kejohanan seperti ini ia akan mengeluarkan kos yang banyak kerana melibatkan pengangkutan dan penginapan pasukan.

2. Kepadatan jadual

Seperti mana Leagues Cup terpaksa membatalkan piala itu pada tahun lepas kerana persediaan Piala Dunia 2022 buat kedua-dua negara.

Jadi, ia mungkin akan berlaku dalam Liga M serta memberi kesan kepada skuad kebangsaan yang menyertai kejohanan dwi-tahunan Piala AFF.

Liga M sudah mempunyai dua Piala yang dipertandingkan iaitu Piala FA dan Piala Malaysia, jika menambah satu lagi kejohanan seperti Leagues Cup ia akan membuatkan jadual bola sepak Malaysia lebih padat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram