PENGENDALI Manchester City, Pep Guardiola berasakan yang pasukannya tidaklah berada pada prestasi terbaik ketika mereka membenam cabaran Sevilla ketika aksi UEFA Super Cup yang diadakan pada awal pagi Khamis waktu Malaysia.
Dalam perlawanan yang diadakan di Greece, City yang merupakan juara UEFA Champions League (UCL) pada musim lalu 'berpeluh' untuk menumbangkan Sevilla dengan pemenang terpaksa ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti.
Tandukan Youssef En-Nesyri pada minit ke-25 memberikan pendahuluan untuk juara UEFA Europa League sebelum Cole Palmer menyamakan kedudukan untuk City di separuh masa kedua.
Ketika penentuan sepakan penalti, kesemua penyepak berjaya menyempurnakan tugasan mereka kecuali Nemanja Gudelj yang merembat bola hingga menggegar palang untuk membolehkan City menang dengan keputusan 5-4.
Walaupun berjaya merangkul satu lagi trofi, tetapi Guardiola berasakan pasukannya tidaklah berada pada prestasi terbaik dan mengalami kesukaran untuk menewaskan Sevilla.
"Semestinya kami tidak berada pada tahap terbaik, saya boleh katakan. Tetapi melihat kepada mentaliti yang ada pada pemain dan staf kejurulatihan, saya mempunyai perasaan yang kita perlu juga cuba lakukannya.
"Kami sangat gembira untuk memperoleh satu piala musim ini. (Saya) sangat gembira untuk kelab (kerana) kejuaraan ini kami tidak pernah ada dan sekarang kami sudah milikinya," kata Guardiola selepas perlawanan.
Fokus Guardiola kini sudah semestinya tertumpu kepada piala seterusnya iaitu Piala Dunia Kelab FIFA yang akan diadakan pada Disember di Arab Saudi.
Pengendali berusia 52 tahun itu begitu 'berselera' untuk merangkul kejuaraan tersebut kerana ia satu-satunya trofi yang belum didakap oleh City dalam sejarah mereka.
"Cuma tinggal satu piala lagi untuk kami lengkapkan koleksi kejuaraan yang kelab ini boleh rangkul. Ianya akan berlaku pada Disember, apabila kami ke Arab Saudi untuk beraksi dalam Piala Dunia [Kelab]," tambah Guardiola lagi.
City akan terbang ke Arab Saudi pada Disember ini untuk berdepan dengan pasukan-pasukan seperti Auckland City, Urawa Red Diamonds dan Al-Ittihad untuk merebut gelaran Piala Dunia Kelab.
Kejohanan tersebut akan diadakan pada 12 hingga 22 Disember 2023. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram