SAINGAN Liga Super musim ini menyaksikan pelbagai momen menarik dan insiden pahit mahupun manis yang mencuri tumpuan penyokong domestik mahupun luar negara.
Antara perkara tumpuan musim ini apabila menyaksikan beberapa pasukan Liga Super masing-masing berebut menjadi kelab yang banyak menjaringkan gol dalam satu perlawanan.
Seperti baru-baru ini, Terengganu FC (TFC) mencipta rekod tersendiri apabila menjadi pasukan yang merekodkan jumlah jaringan terbanyak setakat minggu ke-20 Liga Super diadakan.
Kenduri gol yang berlaku di laman pasukan tuan rumah, Kelantan FC itu menyaksikan The Red Warriors (TRW) dibelasah 0-8 kepada Terengganu FC pada perlawanan di Stadium Sultan Muhammad IV pada Isnin.
Aksi tersebut secara tidak langsung menjadikan skuad TRW sudah melepaskan 76 gol pada musim ini dan mengalahkan rekod PDRM FA pada 2009 apabila ditembusi sebanyak 75 kali.
Ivan meledak hatrik pada aksi menentang TRW itu. — Facebook/TFC
Pemain import dari Croatia, Ivan Mamut meledak hatrik dengan menjaringkan gol pada minit ke-14, ke-53 dan ke-66.
Jaringan gol lain TFC dicetak oleh pemain tengah Uzbekistan, Nurillo Tukhtasinov (27’), Nik Mohd Sharif Haseefy Mohd Lazim (36’), Engku Mohd Nur Shakir Engku Yacob (41’), Safwan Mazlan (47’) dan Hakimi Abdullah pada minit ke-63.
Perlawanan yang mencalar maruah Kelantan itu juga turut disaksikan oleh empat import baharu iaitu Alie Sesay, Ahmed Magdy, Aliakbar Ahmadi serta Dennis Buschening.
Berdasarkan video pendek di laman media sosial menyaksikan riak wajah pemain yang belum boleh beraksi bersama TRW itu seperti terkejut dengan keputusan tersebut.
Selain kekalahan TRW di laman sendiri itu, ini tiga lagi momen kenduri gol Liga Malaysia (Liga M) pada musim ini;
1) Kelantan United VS Selangor (1-7)
Ayron ketika aksi menumpaskan KUFC di Kota Bharu. — Facebook/SelangorFC
Kelantan United FC (KUFC) yang pada awalnya berazam untuk mengecewakan Selangor FC gagal untuk merealisasikannya selepas tewas 1-7 di tangan Gergasi Merah dalam aksi ke-14 Liga Super pada 7 Jun 2023.
Sebelum perlawanan di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Bharu itu, Penolong Jurulatih KUFC, Nazrulerwan Makmor menyatakan keingginannya untuk mengambil kesempatan ke atas mood kecewa Selangor FC selepas tumpas di tangan PDRM FC Pada aksi ke-13 Liga Super.
Namun, sebaliknya anak-anak buah Tan Cheng Hoe bangkit daripada kekecewaan dan mengadakan kenduri gol di Kota Bharu apabila mengaibkan skuad Kijang Hijau dengan jaringan besar.
Penyerang utama, Ayron del Valle, muncul pemain paling cemerlang dengan meledakkan hatrik dan menghasilkan dua bantuan jaringan sambil Mukhairi Ajmal Mahadi, Faisal Halim, Yohandry Orozco dan Aliff Izwan Yuslan turut mencatatkan nama selaku penjaring.
Pada aksi tersebut juga menjadi malam yang sukar dilupakan penyerang Colombia, Ayron del Velle kerana berhasil meraih hatrik pertamanya dan sekali gus jaringan tersebut dapat menutup kritikan terhadapnya.
2) JDT VS KDA FC (6-0)
Penyerang utama KDA FC ketika itu, Lira turut gagal mencetak sebarang jaringan ke gawang JDT. — Facebook/JDT
Kedah Darul Aman (KDA) FC turut tidak terlepas daripada menjadi mangsa kenduri gol juara bertahan Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT) pada saingan musim ini.
Meskipun dilabel antara pasukan terkuat musim ini namun Sang Kenari hanya mampu merenung nasib selepas diratah 0-6 oleh skuad Harimau Selatan pada di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada 9 April 2023.
Perlawanan tanpa belas kasihan itu menyaksikan gaya permainan 'Nafuzi Ball' tidak berhasil sehingga pengendali itu sendiri secara peribadi tidak menyangka dengan kekalahan besar tersebut.
Fernando Forestieri, Feroz Baharuddin, Oscar Arribas, Bergson Da Silva, Arif Aiman dan Leandro Velazquez masing-masing mencetak satu jaringan gol, sekali gus menambah derita pada kem Sang Kenari.
Selepas perlawanan tersebut, JDT sekali lagi mencetuskan kontroversi apabila membakar suar sebagai simbolik meraihkan kemenangan besar mereka ke atas Sang Kenari.
Susulan tindakan membakar suar pada aksi tersebut dan ketika menentang Sabah FC dan PDRM FC, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tmengenakan hukuman denda sebanyak RM120,000 ke atas JDT.
3) NSFC VS JDT (0-7)
Izhan jelas kecewa apabila bolos tujuh gol ketika berdepan JDT. — Facebook
Sebelum TFC menjadi kelab merekodkan jumlah jaringan terbanyak, Harimau Selatan terlebih dahulu membuatnya selepas membelasah Negeri Sembilan FC (NSFC) 0-7, dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada 6 Mac 2023.
Fernando Forestieri (minit ke-21 dan ke-48) dan Corbin Ong (minit ke-67 dan ke-88) masing-masing menjaringkan dua gol semasa perlawanan.
Manakala, penjaring lain ialah Diogo Santo (minit ke-41), Arif Aiman Hanapi (minit ke-52) dan Endrick dos Santos pada minit ke-72.
Kekalahan 0-7 itu juga dikaitkan dengan seperti pertembungan Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila Liverpool mencatatkan keputusan sama apabila menundukkan seteru mereka, Manchester United dengan jaringan yang sama.
Dałam perlawanan disaksikan ribuan penyokong skuad Jang itu bagaimanapun menaikkan nama penjaga gawang muda, Sikh Izhan selepas mempamerkan aski cemerlang menyelamatkan beberapa rembatan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram