"KITA tertunggak tapi kita bayar. Ada orang tertunggak tapi tak bayar."
Demikian kata-kata lantang pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman ketika menjawab soalan penyokong The Red Warrios (TRW) mengenai kemelut gaji yang dialami pasukannya sebelum ini.
Bagi usahawan kelahiran Johor itu, penyokong sepatutnya bersyukur kerana dia tidak mengabaikan kebajikan pemain meskipun pembayaran gaji lewat diberikan.
Tambah Norizam ataupun lebih mesra dengan sapaan Zamsaham itu, pihaknya lebih bertanggungjawab untuk membayar gaji pemain daripada sebuah kelab Liga Malaysia (Liga M).
“Kita tunggak tapi kita bayar. Ada orang tunggak tapi tak bayar. Mana kau nak tunggak tapi tak bayar atau tunggak dan dia bayar.
“Ada pemain Melaka empat ke lima bulan tiada gaji. Kelantan bayar. Kalau aku ini orang kaya bangsawan dan ada duit billion, tiadanya aku nak lambatkan gaji.
“Cuba fikir dengan waras, cuba kau jadi pemilik. Kau pun tidak nak lambatkan gaji pemain. Cuma bila dah tiada duit, macam mana nak bayar,” katanya dalam sebuah klip video yang tular di Facebook.
Tidak menyebut nama kelab tersebut namun ‘pemain Melaka’ yang dinyatakan dalam video itu seakan-akan merujuk kepada masalah gaji Melaka United FC.
Sehingga kini, kemelut dalaman membabitkan masalah gaji Melaka United masih tidak mempunyai penghujungnya.
Terdahulu, Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) memberi amaran bakal membawa pihak bertanggungjawab ke muka pengadilan berhubung isu tunggakan gaji pemain Melaka United FC yang dilaporkan mencecah RM2.3 juta.
Sebelum ini, barisan pemain Kelantan FC kini boleh menarik nafas lega selepas Norizam mengesahkan pihak pengurusan sudah membayar semua gaji pemain tempatan pasukan itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram