KEKALAHAN yang amat memalukan Kelantan FC dalam saingan Liga Super baru-baru ini nyata begitu sukar untuk diterima terutamanya bagi penyokong mereka.
Lebih teruk, kekalahan 0-8 yang diterima The Red Warriors itu terjadi di laman sendiri dan luka itu semakin berdarah apabila mereka tumbang ditangan seteru Pantai Timur iaitu Terengganu FC.
Jaringan hatrik oleh Ivan Mamut nyata menjadi tumpuan utama sambil Nurillo Tukhtasinov, Nik Sharif Haseefy, Engku Nur Shakir, Safwan Mazlan dan Hakimi Abdullah masing-masing turut berhasil mendapatkan gol di Stadium Sultan Muhammad IV.
Namun tanpa disangka, kekalahan memalukan Kelantan FC itu turut mendapat perhatian bekas kapten kebanggaan mereka iaitu Badhri Radzi.
Badhri atau lebih dikenali sebagai Piya turut tidak ketinggalan mengambil bahagian dalam memberikan respon terhadap detik hitam dalam bola sepak Kelantan.
Akan tetapi, beliau tidaklah memilih untuk memberikan komen panjang lebar sebaliknya melakukan satu 'pose' sewaktu berada di stadium.
Menurut Instagram Stories (IG Story) milik Piya, bekas pemain Kelantan itu melakukan 'repost' terhadap sebuah gambar di mana beliau sedang menunjukkan isyarat jari yang membawa maksud bilangan angka lapan.
Dibuat dengan sambil tersenyum, Piya menujukkan isyarat tersebut ketika berada di stadium dipercayai sewaktu perlawanan antara dua kelab Pantai Timur itu diadakan pada Isnin lalu.
Tangkap layar Instagram Stories Piya yang menunjukkan beliau menunjukkan isyarat angka lapan. — Instagram/captain_piya16
Tindakan ini berkemungkinan membawa maksud yang Piya sendiri sudah kecewa dengan prestasi bekas pasukannya itu hingga tiada apa yang boleh dibuat melainkan menghadapinya dengan senyuman.
Kekalahan 0-8 yang dialami Kelantan FC itu terus memburukkan rekod mereka dalam saingan Liga Super dengan kelab Pantai Timur itu terus menghuni kedudukan kedua terbawah Liga Super dengan hanya mengutip lapan mata daripada 20 perlawanan.
Mereka kini telah memecahkan rekod Liga Super apabila menjadi pasukan paling banyak bolos dalam sejarah dengan melepaskan 76 gol. Rekod tersebut sebelum ini dipegang oleh PDRM FA pada 2009 apabila mereka melepaskan 75 gol. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram