[VIDEO] Tak nak kalah dengan Ronaldo, Messi 'heret' Inter Miami ke final Leagues Cup


  • Podium
  • Rabu, 16 Ogos 2023

Lionel Messi meraikan jaringan kedua Inter Miami hasil rembatan jarak jauh kaki kiri. — Agensi

BINTANG Argentina yang berkelana di Amerika Syarikat (AS) bersama-sama Inter Miami, Lionel Messi kini selangkah lagi untuk merangkul kejuaraan pertamanya di negara tersebut.

Selepas melihat seteru utamanya Cristiano Ronaldo merangkul kejuaraan di Arab Saudi bersama Al-Nassr, Messi juga kini berpeluang untuk menambah koleksi kejuaraannya yang begitu hebat selepas membantu Miami menewaskan Philadelphia Union 4-1 dalam perlawanan separuh akhir Leagues Cup.

Persembahan cemerlang Messi di Amerika Syarikat berterusan dengan pemenang Piala Dunia 2022 itu menjaringkan satu gol sambil Josef Martinez, Jordi Alba dan David Ruiz turut berada dalam senarai penjaring.

Kemenangan yang diperoleh skuad kendalian Tata Martino ini cukup signifikan kerana Miami menewaskan Philadelphia di laman mereka sendiri. Untuk rekod, Philadelphia hanya tewas sekali sahaja dalam 38 perlawanan terakhir sebelum rekod itu dipecahkan oleh Messi dan rakan-rakan.

Kemenangan besar itu terhasil seawal minit ke-3 apabila hantaran jauh oleh Serhiy Kryvstov berjaya mencari Martinez untuk pemain itu mudah menewaskan Andre Blake di gol Philadelphia.

Gol kedua Miami muncul pada minit ke-20 apabila Messi yang langsung tidak dikawal di tengah padang berlari tanpa halangan sebelum melepaskan rembatan leret kaki kiri dari jarak jauh untuk bola terus menerjah jaring Philadelphia.

Ketika separuh masa pertama hampir tamat, Alba muncul untuk menambah garam di luka Philadelphia apabila larian dari sebelah kiri mantan pemain Barcelona itu berjaya membuka ruang untuknya menewaskan Blake dengan rembatan kaki kiri.

Gol keempat Miami muncul pada lewat permainan menerusi Ruiz yang menyempurnakan hantaran Alejandro Bedoya untuk memastikan slot Miami dalam perlawanan akhir Leagues Cup.

Miami akan bertemu Nashville SC pada perlawanan akhir pertama dalam sejarah kelab pada Ahad (20 Ogos) dengan Messi akan mengetuai aksi final ke-42 dalam karier penuh gemilangnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram