SELEPAS menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) 2022/23 di tangga kedua, Arsenal memilih melakukan perbelanjaan besar sepanjang jendela perpindahan musim panas ini.
Penyerang antarabangsa Jerman, Kai Havertz dan bek kelahiran Belanda, Jurrien Timber merupakan rekrut utama mereka untuk mempersiapkan pasukan bagi menghadapi kempen baharu.
Usaha kelab berpangkalan di London, Englad itu sepertinya masih belum menemui titik noktah apabila mengumumkan kehadiran penjaga gol muda, David Raya pada Selasa lalu.
Dia yang dibawa masuk dengan status pinjaman dari kelab EPL, Brentford dijangka akan menambah baik struktur benteng pertahanan The Gunners untuk musim 2023/24.
David Raya memiliki tatu istimewa di bahagian belakang lehernya. — Agensi
Bagaimanapun, kehadirannya baru-baru ini mencetuskan perbualan hangat dalam kalangan penyokong The Gunners yang menyedari bahawa terdapatnya tatu mencuri perhatian di leher pemain Sepanyol itu.
Tatu yang memaparkan tarikh '13-08-21' merupakan catatan penting dalam sejarah karier David Raya yang mencatatkan penampilan sulungnya bersama Brentford.
Namun, apa yang lebih menarik adalah apabila perlawanan itu menyaksikan skuad The Bees menewaskan Arsenal dengan keputusan 2-0 di laman sendiri.
Jaringan Sergi Canos dan Christin Norgaard pada malam terbabit sudah cukup untuk memastikan kepulangan Brentford ke divisyen teratas bola sepak Inggeris berakhir dengan kegembiraan.
Tetapi, dengan David Raya mempunyai reputasi cukup baik dalam kalangan peminat setia EPL, penyokong The Gunners pastinya perlu melupakan catatan sejarah itu untuk menerima kehadirannya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram