Kelantan FC cari pengarah teknikal baharu tapi tawar gaji setaraf 'fresh grad'


  • Podium
  • Khamis, 17 Ogos 2023

Kelantan FC kini sedang mencari pengarah teknikal baharu. — Facebook/TRW Kelantan FC

KELAB Liga Super, Kelantan FC sekali lagi menjadi tumpuan ramai apabila tersebarnya iklan oleh pasukan Pantai Timur itu yang kini sedang mencari pekerja baharu.

Selepas menjadi 'bahan' kerana dibelasah Terengganu FC dalam aksi Liga Super, Kelantan FC sekali lagi tular di media sosial apabila tersebarnya tangkap layar iklan jawatan kosong sebagai pengarah teknikal di kelab tersebut namun dengan jumlah gaji yang rendah.

Tangkap layar itu dikongsikan oleh sebuah akaun di Twitter bernama "Polututui" dengan gaji pengarah teknikal di Kelantan FC ditawarkan dengan gaji sekitar RM2,500-RM3,000 sahaja.

Iklan yang disiarkan pada Selasa lalu di laman JobStreet itu memaparkan skop kerja yang tidak setimpal dengan jawatan dan gaji ditawarkan kerana terdapat pelbagai tugas perlu dilaksanakan.

Antaranya adalah memaksimumkan pendapatan tahunan kelab menerusi pelbagai cara sambil merunding perbelanjaan perpindahan pemain serta belanjawan gaji yang perlu dibincang bersama-sama jurulatih dan pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman.

F3qIbrVXsAAYq55

Iklan jawatan kosong sebagai pengarah teknikal di Kelantan FC yang kini tular. — JobStreet/Team Red Warriors Sdn. Bhd.

Selain itu, pengarah teknikal Kelantan FC juga perlu membangunkan DNA permainan kelab serta menubuhkan akademi pemain muda.

Tugas berat dalam skop kerja itu dilihat tidak sepadan dengan gaji yang ditawarkan oleh Kelantan FC. Namun dalam iklan yang disiarkan, mereka secara terbuka mengatakan taraf karier bagi jawatan tersebut adalah 'junior executive' atau eksekutif muda.

Iklan jawatan kosong ini nyata sekali lagi menjadi 'peluru' yang datang menghentam Kelantan FC ketika kelab itu mengalami pelbagai isu di luar padang selain prestasi longlai dalam saingan Liga Super.

Sudah pasti, Norizam atau lebih dikenali sebagai Zamsaham menjadi subjek kepada kecam para peminat dan pengikut bola sepak Malaysia selain iklan jawatan kosong ini menjadi petanda yang kewangan kelab berada dalam keadaan tidak baik.

Majoriti sudah menghubungi pihak Zamsaham untuk mendapatkan respons berkenaan perkara ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram