Siap petik TMJ mohon bantuan, guru luah faktor kewangan gagalkan misi Sabah ke MSSM Johor


  • Podium
  • Khamis, 17 Ogos 2023

Pemain B-18 Sabah hanya mampu menerima takdir apabila disahkan tidak dapat ke MSSM Johor. — Facebook/Naimmi Yusof

PELBAGAI cara boleh dilakukan untuk memperkasakan pembangunan akar umbi bola sepak di tanah air bagi terus menggilap bakat-bakat muda yang boleh diasah sehingga menjadi aset terbaik negara.

Antara platform untuk mencari dan menilai bakal bintang bola sepak tanah air di usia muda ialah dengan membuat kejohanan sukan seperti Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM).

Musim ini, MSSM bagi sukan bola sepak yang dijadualkan bermula 24 Ogos sehingga 31 Ogos di Johor pastinya akan mencuri tumpuan dan menjadi acara sukan ditunggu-tunggu oleh peminat tanah air untuk menyaksikan aksi ubi muda.

Ketika wakil negeri lain sedang mempersiapkan diri untuk ke kejohanan tersebut, pasukan bola sepak di Sabah pula menerima nasib berbeza apabila difahamkan tidak dapat terbang ke Johor untuk MSSM 2023.

Berita tersebut dikongsikan oleh seorang pengguna Facebook, Naimmi Yusof yang juga difahamkan guru bertugas untuk menguruskan pasukan bola sepak Bawah-18 (B-18) Sabah untuk ke kejohanan MSSM.

Menurut guru lelaki itu, jurulatih dan pemain B-18 Sabah tidak berpeluang ke Selatan tanah air itu disebabkan kekangan kewangan yang tidak dapat diperuntukkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).

ISI DALAM

Perlawanan persediaan pemain-pemain B-18 Keningau untuk ke peringkat kebangsaan. — Facebook/Naimmi Yusof

Bukan hanya juara B-18 iaitu Keningau MSSD tidak dapat ke kejohanan tersebut, malah pasukan Bawah 15 Sabah juga tidak dapat meneruskan misi membawa nama negeri Di Bawah Bayu itu ke Johor.

Tambah guru yang bertugas di Sekolah Menengah Kebangsaan Bingkor itu, kos diperlukan mencecah RM40,000 untuk menampung keperluan dua pasukan Sabah itu sepanjang kejohanan MSSM berlangsung nanti.

"Apalah nasib kami di Sabah. Keningau Juara U 18 (B-18)... Coach dan budak saya tidak dapat ke MSSM sebab masalah kekangan kewangan JPN.. Kos flight ke Johor. Kos Makan minum di sana...Kos pengangkutan disana... Dianggarkan RM30,000 ke RM40,000.

"Kasihan jurulatih dan pemain-pemain saya.. Kenapa KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia) turunkan peruntukan sikit untuk JPN Sabah untuk MSSM... Negeri lain okay tidak perlu naik flight bagai.

"U18 dan U15 bola sepak Sabah tidak dihantar ke MSSM atas faktor kekangan kewangan. Terus rasa down, tiada guna juara di negeri. Tiada guna buat program dari peringkat daerah. Kecewa, sedih dan marah. Nak minta tolong siapa ini. Harap TMJ (Tunku Mahkota Johor) baca post ini.. Mana tahu TMJ boleh bagi duit," katanya.

Nama pemilik Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim dipetik kerana beliau sememangnya dikenali sebagai seorang individu yang bermurah hati untuk membantu membangunkan bola sepak tanah air.

Seperti sebelum ini, Tunku Ismail menaja kos berjumlah RM2.3 juta untuk mengganti rumput padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) kepada Zeon Zoysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram