PENYERANG Brazil dan Paris Saint-Germain (PSG), Neymar Jr sah menyertai kelab gergasi Arab Saudi, Al-Hilal selepas diumumkan oleh pasukan itu pada awal pagi Rabu.
Al-Hilal merupakan musuh utama kelab Cristiano Ronaldo, Al-Nassr dan kehadiran Neymar pastinya menjadikan saingan Liga Pro Saudi musim ini lebih sengit.
Sebelum ini, menurut laporan akhbar Perancis, L’Equipe, Neymar setuju untuk beraksi bersama Al-Hilal dengan menandatangani kontrak selama dua tahun.
Laporan itu menyebut Neymar bakal menerima lebih RM805 juta di Al-Hilal dengan kontrak selama dua tahun selepas menghabiskan enam musim beraksi di PSG.
Neymar menyertai PSG pada 2017 dari Barcelona dengan rekod perpindahan dunia ketika itu RM1.12 bilion yang mana dia melakukan 173 penampilan, 118 gol dan 77 hantaran bantuan untuk kelab Perancis tersebut.
Walaupun beberapa kali menjulang PSG untuk memenangi piala domestik, tetapi Neymar gagal membawa pulang kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) buat PSG.
Al-Hilal sebelum ini mensasarkan Messi namun kapten Argentina itu lebih memilih untuk ke Amerika Syarikat.
Maka tidak hairan apabila Al-Hilal mengalihkan tumpuan kepada Neymar dan bersedia menawarkan gaji yang jauh lebih lumayan.
Sebelum ini, pemain dari Brazil itu turut dikaitkan dengan perpindahan ke Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan Manchester United, Chelsea dan Newcastle berminat untuk mendapatkan khidmatnya.
Soriano pernah beraksi bersama Al-Hilal pada 2019. — Agensi
Dalam pada itu, bekas penyerang Barcelona, Jonathan Soriano yang pernah beraksi bersama Al-Hilal tidak bersetuju dengan perpindahan Neymar ke Arab Saudi yang mana dia menggangap bintang Brazil itu masih boleh memberi cabaran kepada Kylian Mbappe dan Erling Haaland.
"Neymar mempunyai kualiti yang baik untuk memimpin PSG memenangi UCL.
"Saya percaya dia telah membuang harapan itu.
"Tiada Cristiano Ronaldo atau Lionel Messi, jadi dia boleh mengetuai bola sepak bersama Mbappe dan Haaland.
"Sebaliknya, dia memutuskan untuk mendapatkan lebih banyak wang di Arab Saudi," katanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram