'Ada tawaran daripada luar negara', ejen kongsi masa depan Bernhardt


  • Podium
  • Ahad, 13 Ogos 2023

Bernhardt kini dikhabarkan masih menetap di Malaysia dan tidak pulang ke negara asal.

"BERHARDT mendapat tawaran daripada beberapa buah kelab luar negara."

Itulah perkongsian daripada ejen Frank Bernhardt, Sherif Shekoo tentang perkembangan semasa jurulatih berusia 53 tahun itu selepas tidak lagi bersama Kelantan FC musim ini.

Bernhardt sebelum ini dilantik sebagai pengarah teknikal Kelantan sebelum diberi jawatan sebagai ketua jurulatih susulan pemecatan Choi Moon-sik yang diberhentikan akibat kemerosotan prestasi pasukan.

Menurut Shekoo, Bernhardt tidak mendapat tawaran daripada pasukan Liga Malaysia tetapi beberapa kelab luar negara telah berhubung dan mahu mendapatkan khidmat bekas ketua jurulatih Harimau Muda itu.

"Tidak, saya ada mendapat tawaran daripada Myanmar tetapi coach Bernhardt menolak untuk berkhidmat di sana.

"Selain itu dia juga mendapat tawaran daripada beberapa kelab yang beraksi di negara seperti Iraq, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan lain-lain lagi," katanya kepada Majoriti ketika ditemui di sebuah hotel di ibu kota.

WhatsApp Image 2023-08-12 at 6.10.08 PM

Sherif Shekoo.

Shekoo turut menjelaskan bahawa Kelantan telah melunaskan segala tunggakan bayaran pampasan ataupun gaji Bernhardt selama dia berkhidmat bersama pasukan itu.

Kini Bernhardt hanya menunggu bayaran tiket daripada pihak pengurusan Kelantan untuk pulang ke Jerman seperti yang dijanjikan mereka.

"Kalau coach Bernhardt nak balik sekarang saya boleh belikan dia tiket dahulu, tetapi dia memilih untuk menetap di Malaysia sementara waktu.

"Kami sedang menunggu beberapa tawaran sambil mendapatkan bayaran tiket supaya segala saki baki yang dijanjikan Kelantan itu terlunas.

"Kini Kelantan sedang memproses duit tiket penerbangan tersebut dan difahamkan kira-kira seminggu lagi Bernhardt akan mendapat bayaran tersebut.

Sebelum ini, Majoriti melaporkan situasi sebenar yang berlaku kepada Bernhardt yang didakwa mendiami sebuah bilik stor kepunyaan rakannya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram