Pengalaman Liga Super jadi taruhan 2 bintang muda capai sasaran Piala AFF 2023 B-23


  • Podium
  • Rabu, 16 Ogos 2023

Skuad B-23 dalam kejohanan Sukan SEA 2023 Mei lalu.

SKUAD Bawah 23 tahun (B-23) negara sedia menebus kegagalan pada Sukan SEA 2023 di Kemboja pada Mei lalu dengan memberikan komitmen 100 peratus pada Kejohanan Piala AFF B-23 di Rayong, Thailand, bermula Jumaat ini.

Pertahanan B-23 tahun negara, Ubaidullah Shamsul Fazili, menjadikan penampilan dalam Liga Super sebagai bekalan motivasi untuk diterjemahkan dalam misi menjulang skuad negara dalam kejohanan tersebut.

Ubaidullah

Ubaidullah musim ini sering mendapat peluang beraksi bersama TFC.

Bintang muda Terengganu FC (TFC) itu turut menyatakan skuad muda negara akan sentiasa menghadirkan corak permainan yang berkualiti dan meletakkan sasaran untuk menjuarai kesemua pertandingan yang disertai.

"Sudah tentu setiap kejohanan kami cuba menjuarai, (sasaran) layak ke final memang realistik sebab kami cuba buat terbaik walaupun persiapan kali ini singkat.

"Tetapi ini satu daripada cabaran dan kami sahut cabaran ini dengan positif.

"Semua pasukan ada peluang seimbang, bola itu bulat macam-macam boleh jadi dan tidak semestinya Indonesia yang juara Sukan SEA 2023 boleh ke final kali ini, kami akan berikan cabaran sengit dalam setiap perlawanan,” katanya pada Astro Arena.

Aiman Afif

Aiman Afif sebelum ini dilantik sebagai kapten B-23 negara.

Sementara itu, pemain muda Kedah Darul Aman (FDA) FC, Mohd Aiman Afif Md Afizul yang merupakan kapten skuad B-23 kebangsaan pada kempen edisi 2022, berharap semua pemain memberikan komitmen untuk mencapai sasaran layak ke final, selain menganggap Malaysia berdepan laluan sukar di peringkat kumpulan.

"Setiap kejohanan memang kami sasar final, jadi semua pemain kena buat terbaik dan bagi komitmen untuk capai sasaran. Saingan kumpulan agak sukar walaupun tiga pasukan, kami kena kutip mata dalam setiap perlawanan," kata pemain tengah berusia 22 tahun itu.

Tambahnya lagi, Kejohanan B-23 AFF 2023 merupakan platform untuk merebut tempat dalam skuad ke pusingan kelayakan Piala Asia B-23 2024 bermula September depan.

Kejohanan B-23 AFF 2023 yang berlangsung di Rayong, Thailand dari 17 sehingga 26 Ogos ini menyaksikan saingan Kumpulan A menghimpunkan pasukan tuan rumah Kemboja, Brunei dan Myanmar sementara Kumpulan C dibarisi juara bertahan Vietnam, Filipina dan Laos.

Anak-anak buah E. Elavarasan akan memulakan perlawanan Kumpulan B bertemu Indonesia pada Jumaat ini diikuti aksi menentang Timor Leste (22 Ogos) dengan juara setiap kumpulan bersama naib juara terbaik akan layak ke separuh akhir. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram