Lepas Kelantan dan JDT, 3 kelab top ada peluang pecah 4 rekod sebelum tamat Liga Super 2023


  • Podium
  • Rabu, 16 Ogos 2023

JDT dan Kelantan FC mengalami satu musim yang cukup berbeza dalam Liga Super ketika ini. — Instagram/trwkelantanfc

LIGA Super musim ini menyajikan pelbagai momen, keputusan serta insiden yang menaikkan lagi namanya dalam kalangan penyokong bola sepak tanah air.

Meskipun terdapatnya beberapa kontroversi yang pastinya sukar dilupakan, terjadinya juga perkara-perkara menarik sepanjang kira-kira enam bulan ia berlangsung.

Tidak cukup dengan itu, keputusan perlawanan juga tidak kurang hebatnya apabila peminat setia sering disajikan aksi-aksi terbaik.

Catatan mencuri perhatian bagi setiap aksi membolehkan sebilangan rekod yang sebelum ini dicipta mudah dipecahkan pasukan-pasukan yang bertanding.

Baru-baru ini, pendahulu Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT) mencipta sejarah tersendiri apabila mengatasi catatan gol paling banyak untuk semusim.

366748908_860474102115234_238643867326070641_n

JDT sememangnya tidak mempunyai masalah untuk mencatatkan lebih banyak rekod tersendiri. Facebook/JOHOR Southern Tigers

79 jaringan setakat ini membolehkan mereka memecahkan rekod gol yang sebelum ini dicatatkan Selangor FA apabila mereka menggegarkan gawang gol lawan sebanyak 64 kali.

Skuad Harimau Selatan turut berkesempatan memadam lebih banyak sejarah bola sepak tanah air, termasuk kemenangan terbanyak dalam tempoh semusim.

Di samping itu, baru-baru ini, Kelantan FC juga mencalarkan rekod Liga Super apabila muncul sebagai pasukan paling kerap dibolosi.

Catatan tersebut berlaku ketika mereka dimalukan di tangan Terengganu FC dengan kekalahan 0-8 dalam aksi Liga Super pada Isnin, sekali gus menyaksikan skuad The Red Warriors (TRW) sudah melepaskan 76 gol.

Rekod berkenaan sebelum ini dipegang PDRM FA pada 2009 dengan mereka ketika itu ditembusi sebanyak 75 kali yang menyebabkan mereka menduduki tangga tercorot liga.

Bagaimanapun, dengan terdapat kira-kira enam minggu perlawanan berbaki, masih terdapat peluang untuk mana-mana pasukan atau pemain menulis nama mereka dalam sejarah bola sepak negara.

Menurut pemerhatian Majoriti, terdapat tiga rekod yang masih boleh dipecahkan sebelum tirai Liga Super 2023 dilabuhkan.

1. Ayron del Valle (Penjaring terbanyak semusim buat Selangor FC)

Tidak boleh dinafikan bahawa Selangor FC jarang melakukan kesilapan untuk membawa masuk penyerang berkualiti, baik dari segi import mahupun tempatan.

Ifedayo Olusegun, Rufino Segovia serta Herlison Caion merupakan antara contoh terbaik jika hendak dibandingkan beberapa musim sebelum ini.

Baru-baru ini, mereka sekali lagi melakukan keputusan tepat apabila menyambar khidmat penyerang kelahiran Colombia, Ayron del Valle pada awal musim lalu.

Meskipun memulakan kempen 2023 dengan sedikit perlahan, pemain berusia 34 tahun itu tidak menunggu lama untuk menyesuaikan diri bersama skuad Gergasi Merah.

366819389_770099171788480_4206510505826501414_n

Ayron pastinya lebih dahaga memasuki penghujung musim 2023. Facebook/Selangor FC

Ia dapat dibuktikan apabila Ayron menjaringkan 17 gol daripada 21 penampilan yang memacu Selangor FC ke kedudukan kedua dalam carta Liga Super.

Catatan tersebut membolehkan namanya semakin disayangi penyokong kelab Lembah Klang itu dengan persembahannya dalam setiap perlawanan tidaklah terlalu mengecewakan.

Bagaimanapun, bagi pemain berjersi no. 70 itu, dia pastinya masih belum cukup berpuas hati dengan pulangan terbabit memandangkan masih terdapat rekod yang perlu dicalarkan.

Melihat kepada rekod Selangor FC dalam Liga Super, gol terbanyak dalam tempoh semusim kini dipegang Ifedayo yang menjaringkan 26 gol pada musim 2022.

Berdasarkan aksi yang berbaki buat pasukan itu dalam Liga Super, Ayron masih berpeluang untuk mencipta nama dengan hanya sembilan gol perlu dijaringkan dalam lima perlawanan.

2. Bergson da Silva (Hatrik terbanyak dalam semusim)

Kecederaan dan masalah kecergasan menyaksikan pemenang Anugerah Kasut Emas Liga Super musim lalu, Bergson da Silva kurang menyengat buat JDT pada 2023.

Berdasarkan catatannya setakat ini, pemain kelahiran Brazil itu sudah menjaringkan 15 gol dalam 16 penampilan yang meletakkannya di belakang Ayron serta rakan sepasukan, Fernando Forestieri dalam carta penjaring terbanyak.

Namun, tidak boleh dinafikan bahawa Bergson masih memiliki deria cukup tajam di hadapan pintu gol setiap kali diberikan minit permainan.

Baru-baru ini, pemain terbabit sekali lagi mencuri perhatian apabila menjaringkan hatrik ketika skuad Harimau Selatan berdepan Sabah FC di tempat lawan.

366735199_860473742115270_5392669268034672063_n

Bergson hanya perlu meledak dua hatrik untuk memadam rekod semasa. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Catatan itu menyaksikan peledak berusia 32 tahun tersebut sudah menjaringkan tiga gol dalam satu perlawanan sebanyak dua kali musim ini.

Sekiranya prestasi cemerlang itu diteruskan, tiada halangan yang boleh menghentikan usaha Bergson untuk mencalarkan rekod hatrik terbanyak dalam kempen Liga Super.

Setakat artikel ini ditulis, hanya Ifedayo dan bekas penyerang Kelantan FA, Mohammed Ghaddar memiliki pulangan lebih baik apabila mereka menjaringkan tiga hatrik dalam semusim.

Bergson mempunyai peluang cerah untuk sekali lagi mencipta nama sekiranya dia dapat menggegarkan gawang gol lawan dengan mudah dalam enam baki perlawanan Liga Super buat JDT.

Melihat kepada lawan mereka itu, pemain berkenaan sepertinya diberikan laluan mudah dalam menulis rekod baharu dalam lipatan bola sepak negara.

3. JDT (Rekod gol terpantas dalam Liga Super)

Musim ini, skuad Harimau Selatan mudah memadam rekod-rekod yang pernah dicatatkan dalam Liga Super, baik dari segi serangan mahupun pertahanan.

Selain rekod catatan mata terbaik, skuad Harimau Selatan juga dalam usaha mencatatkan jumlah terbolos paling sedikit dengan hanya empat gol dilepaskan setakat ini.

Dari segi jentera serangan pula, mereka yang sudah menjaringkan 79 gol pastinya tidak mahu memperlahankan usaha agar rekod itu berterusan untuk satu tempoh lebih lama.

Bagaimanapun, terdapat satu perkara yang pastinya sukar dicalarkan jaguh bola sepak tanah air itu apabila mereka masih belum melahirkan penjaring terpantas dalam Liga Super.

362928625_817970126510310_4118419474096815361_n

Rafael Vitor masih memegang status sebagai penjaring terpantas dalam sejarah Liga Super. Facebook/Penang FC

Rekod itu ketika ini dipegang kapten skuad Harimau Kumbang, Rafael Vitor yang hanya memerlukan sembilan saat untuk membolosi gawang gol Perak FC pada 2021.

Meskipun beraksi sebagai seorang bek tengah, pemain kelahiran Brazil itu bijak menggunakan pengalamannya untuk memperoleh jaringan dengan menampan bola muntah daripada percubaan Endrick dos Santos.

Berdasarkan catatan sebelum ini, penyerang JDT, Gonzalo Cabrera merupakan penjaring terpantas dalam sejarah kelab apabila dia mengambil masa 39 saat untuk menggegarkan gawang Petaling Jaya (PJ) City FC pada 2021.

Walaupun rekod tersebut tidaklah terlalu signifikan, skuad Harimau Selatan pastinya tertarik untuk meletakkan nama salah seorang pemain mereka dalam kategori itu.

Keberadaan penyerang-penyerang berkualiti seperti Arif Aiman Hanapi dan Heberty Fernandes merupakan sandaran buat JDT sekiranya mereka mahu menjaringkan gol lebih pantas berbanding Rafael Vitor.

4. Amri Yahyah (Penjaring tertua dalam Liga Super)

Di samping ubi-ubi muda, pasukan-pasukan Liga Super turut berminat untuk menggunakan pemain berusia di pelbagai posisi bagi memanfaatkan pengalaman mereka.

Musim ini, Sabah FC merupakan salah sebuah kelab dalam kategori itu apabila mereka masih mempercayai khidmat bekas pemain kebangsaan, Amri Yahyah.

Walaupun hanya memiliki peranan sebagai pemain gantian, anak jati Tanjung Karang, Selangor itu dilihat mempunyai peranan tersendiri dengan kelab Borneo itu.

Dalam 16 penampilan dalam Liga Super, Amri masih berupaya untuk mencatatkan satu bantuan jaringan ketika skuad Sang Badak meraih kemenangan ke atas Kuching City FC.

365230911_670951528404875_6721036100871328466_n

Amri (kiri) masih bergiat aktif secara profesional meskipun sudah berusia 42 tahun. Facebook/Sabah FC

Namun, perkara itu pastinya belum cukup menggembirakan bekas kapten Selangor FA tersebut apabila dia masih belum menggegarkan pintu gol lawan.

Sekiranya Amri berjaya mencatatkan sekurang-kurangnya satu gol dalam Liga Super, namanya pasti akan terpahat dalam sejarah bola sepak negara apabila muncul sebagai penjaring tertua sepanjang zaman.

Ketika ini, rekod itu dipegang seorang lagi pemain senior yang masih aktif, Indra Putra Mahayuddin dengan catatan itu dibuat untuk Kelantan United musim ini.

Gol berkenaan dihasilkan ketika skuad Kijang Hijau berdepan Perak FC pada Julai lalu ketika legenda bola sepak negara itu berusia 41 tahun dan 10 bulan.

Amri yang sudah melepasi usia 42 tahun berpeluang mencalarkan rekod berkenaan dengan Sabah FC masih berbaki lima perlawanan dalam Liga Super. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram