SKUAD Bawah 23 Tahun (B-23) negara dilihat sedang giat melakukan persiapan dalam usaha untuk menampilkan aksi terbaik dalam kempen Kejuaraan B-23 AFF pada 17 hingga 26 Ogos akan datang.
Selepas diundi bersama Indonesia dan Timor Leste dalam Kumpulan B, persediaan lebih lengkap pastinya perlu dibuat untuk memastikan kemaraan ke peringkat seterusnya dapat dicapai.
Ketika ini, mereka dilihat sedang giat menjalani latihan sejak Ahad lalu di Stadium Cheras, Kuala Lumpur (KL) dengan bimbingan ketua jurulatih, E Elavarasan.
Bagaimanapun, berdasarkan perkongsian di laman Facebook rasmi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), kesemua yang terlibat dalam sesi tersebut bukanlah berada dalam senarai akhir.
Persediaan itu dibuat bagi melihat tahap kecergasan pemain yang berada dalam senarai awal di samping memastikan mereka tidak mengalami sebarang kecederaan serius.
Jadi, selepas panggilan pertama itu dibuat, pihak kejurulatihan pastinya sudah dapat mengenal pasti skuad terbaik untuk dibawa ke Rayong, Thailand.
Dalam satu pengumuman yang dibuat pada Rabu, Elavarasan sudah memilih seramai 23 pemain untuk diletakkan dalam senarai terakhir Kejuaraan B-23 AFF 2023.
Senarai akhir 23 pemain yang dipanggil Elavarasan untuk kejohanan akan datang. — Facebook/FAM
Menariknya, pengendali berusia 61 tahun itu dilihat melakukan percaturan menarik apabila tiada mana-mana pasukan Liga Super yang memonopoli panggilan itu.
Sebelum ini, isu berkenaan sering dibincangkan penyokong bola sepak tanah air yang mempersoalkan keputusan sekiranya pihak kejurulatihan terlalu cenderung untuk membawa masuk pemain muda dari sesebuah pasukan.
Perkara berkenaan pastinya didengari memandangkan mereka lebih terbuka untuk memberi peluang kepada ubi muda dari latar belakang yang pelbagai.
Pemain dari Johor Darul Takzim II (JDT II) dan Selangor FC merupakan yang paling ramai muncul dalam senarai berkenaan dengan empat nama dipilih Elavarasan.
Selain itu, pihak kejurulatihan B-23 negara turut memberikan lebih banyak peluang kepada rata-rata pasukan Liga Super untuk menyumbangkan pemain muda dengan hanya lima kelab tidak tampil dalam senarai terbabit.
Lebih menarik lagi, mereka juga mengambil insiatif mengejutkan apabila memberikan peluang buat pemain Liga M3, Hazim Abu Zaid dari Imigresen FC untuk menampilkan potensinya di Thailand kelak.
Elavarasan pastinya berhasrat pendekatannya kali ini dapat memberikan hasil terbaik memandangkan dia diberikan tekanan atas persembahan mengecewakan ketika kempen Sukan SEA 2023. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram