[VIDEO] Hadir tonton aksi memalukan, riak wajah 4 import baharu TRW ungkap 1,001 makna


  • Podium
  • Rabu, 16 Ogos 2023

Tangkap layar memaparkan kesemua empat import baharu Kelantan FC hadir di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kelantan pada Isnin.

KELANTAN FC mengalami satu hari paling mengecewakan dalam sejarah bola sepak mereka apabila tewas 0-8 kepada seteru setempat, Terengganu FC dalam aksi Liga Super pada Isnin.

Skuad The Red Warriors (TRW) yang terpaksa turun dengan rata-rata pemain muda bergelut sejak awal permainan apabila lawan mereka itu melancarkan serangan seawal minit pertama perlawanan.

Tekanan semakin dirasai pemain dalam skuad kendalian Alfredo Vera apabila skuad Sang Penyu mendahului pada minit ke-14 menerusi gol Ivan Mamut.

Kealpaan benteng pertahanan Kelantan FC terus dihukum sepanjang permainan sehingga menyaksikan mereka ketinggalan empat gol selepas 45 minit berlangsung di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kelantan.

Semangat skuad bimbingan Tomislav Steinbruckner untuk mendapatkan lebih banyak jaringan tidak luntur memasuki babak kedua permainan apabila asakan terus dilancarkan ke arah kubu skuad TRW.

Percubaan demi percubaan yang dibuat cukup membuahkan hasil apabila mereka berjaya mencatatkan satu rekod kemenangan terbesar dalam Liga Super.

Keputusan tersebut pastinya sukar dilupakan ribuan penyokong Kelantan FC yang hadir ke stadium untuk memberi sorakan tidak berbelah bahagi kepada pemain di atas padang.

Namun, dengan persembahan mengecewakan disajikan sepanjang 90 minit permainan, mereka pastinya pulang dengan hati yang berat untuk terus menyokong pasukan Pantai Timur itu.

Perasaan berkenaan juga pastinya dirasakan empat import baharu yang hanya dibenarkan untuk berada di tempat duduk penyokong untuk menyaksikan aksi terbabit.

Berdasarkan video pendek yang kini dikongsikan di laman media sosial, pemain yang dimaksudkan ialah Alie Sesay, Ahmed Magdy, Aliakbar Ahmadi serta Dennis Buschening.

Riak muka masing-masing dilihat cukup sedih dengan keputusan akhir itu dengan mereka hanya mampu tersenyum tawar kepada penyokong yang lain.

Kesemua pemain berkenaan difahamkan tidak dapat didaftarkan berikutan isu yang masih berlangsung antara Kelantan FC dengan badan induk bola sepak antarabangsa, FIFA sehingga hari ini.

Kemasukan mereka sebelum ini cukup dinanti-nantikan penyokong skuad TRW yang berasakan kehadiran empat pemain itu mampu mengubah nasib pasukan untuk baki musim 2023.

Bagaimanapun, dengan kemelut kelab di peringkat pengurusan semakin kritikal, terdapat kemungkinan keempat-empat pemain itu tidak dapat diturunkan untuk perlawanan di peringkat domestik sehingga tirai Liga Super dilabuhkan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram