Tewaskan rekod jaringan JDT, Sang Penyu belasah Kelantan sampai 8 butir


  • Podium
  • Selasa, 15 Ogos 2023

Sebahagian aksi Terengganu FC menentang Kelantan FC di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada Isnin. — Kelantan FC

TERENGGANU FC (TFC) berpesta gol selepas berjaya menyumbat sehingga lapan gol dalam pertembungan derbi Pantai Timur dengan Kelantan FC di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan pada Isnin.

Ia sekali gus memecahkan rekod pendahulu liga, Johor Darul Takzim (JDT) yang mencipta tujuh gol dalam aksi menentang Negeri Sembilan FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada 6 Mac lalu.

Penguasaan bola skuad Terengganu pada babak pertama perlawanan mendatangkan hasil selepas penyerangnya, Ivan Mamut berjaya menjaringkan gol menerusi tandukan cantik ke gawang lawan pada minit ke-14 untuk gol pendahuluan pasukan lawan.

Terengganu terus menggandakan jaringan apabila memperoleh gol menerusi tandukan Nurillo Tukhtasinov pada minit ke-27.

Bintang muda terengganu, Nik Sharif Haseefy menjarakkan kedudukan skuad kendalian Tomislav Steinbruckner apabila mencetak gol pada minit ke-37.

Pemain tengah itu meraikan gol tersebut dengan memasukkan bola ke dalam jersi seperti memberi mesej bahawa dia bakal bergelar bapa tidak lama lagi selepas menamatkan zaman bujang pada Mac lalu.

F3f3FmlXQAAaeyG

Pemain TFC memanaskan badan selepas perlawanan berlangsung lewat sejam kerana cuaca hujan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada Isnin. — Terengganu FC

Pada minit ke-40, giliran Engku Nur Shakir pula membuat rembatan ke pintu gawang untuk menewaskan penjaga gol Kelantan, Muhammad Irfan Haikal.

Separuh masa kedua menyaksikan skuad Sang Penyu terus bernafsu mencari gol apabila Safwan Mazlan pula mencetak nama sebagai penjaring pada minit ke-46 menerusi satu tap-in mudah.

Ivan Mamut menambah derita skuad Kijang Merah selepas mencetak gol keenam sebelum Hakimi Abdullah menggegarkan gawang lawan pada minit ke-64 hasil kealpaan benteng pertahanan tuan rumah.

Pada minit ke-66, Ivan Mamut meledak satu lagi gol sekali gus mencipta hatrik buat kali kedua selepas kali pertama melakuknnya ketika menewaskan wakil Liga M3, Kuala Lumpur Rovers (KL Rovers) di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Jumaat.

Laman penyokong @twtbolakelate berpendapat, jurang fizikal pertahanan dan penyerang lawan menjadi asbab pasukan Kelantan FC dibolosi dengan jaringan besar.

366022060_277673844974057_6780171907912767251_n

"Hantaran yang tidak menjadi dan 'loose marking' juga memberikan ruang kepada lawan untuk menghukum pasukan TRW.

"Perit, malu dan mungkin inilah semakan realiti kepada pengurusan Kelantan. Kekalahan terbesar dalam Liga Super 2023 setakat ini," katanya.

Sementara itu, seorang penyokong, Karim Fazly berkata, Terengganu berjaya memecahkan rekod yang dicipta JDT dalam perlawanan Liga Super setakat ini.

"JDT pun tak dapat sampai 8 butir. Betul-betul kena belasah team Kelantan. JDT lawan Kelantan pun dapat lima butir saja," katanya.

"Berbaloi tunggu sampai sejam bila tengok perlawanan best macam ni...gol saja," ujar Asyraf Hakim pula.

Terengganu kini berada di tangga keenam carta liga manakala Kelantan United kekal di kedudukan ke-13 selepas gagal menambah mata dalam saingan kali ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram