Tak anggap hukuman, fans Kelantan anggap satu rahmat andai turun pangkat ke Liga M3


  • Podium
  • Selasa, 15 Ogos 2023

Penyokong skuad TRW disajikan dengan satu persembahan cukup mengecewakan ketika berdepan Terengganu FC dalam aksi Liga Super pada Isnin. — Facebook/TRW Kelantan FC

SATU keputusan mengecewakan terpaksa ditelan penyokong skuad The Red Warriors (TRW) apabila pasukan kesayangan mereka itu tewas 0-8 kepada Terengganu FC dalam aksi Liga Super di laman sendiri pada Isnin.

Mereka yang turun dengan semangat berkobar-kobar selepas menang ke atas Negeri Sembilan FC dalam perlawanan sebelumnya cukup yakin untuk sekurang-kurangnya memberi tentangan kepada pihak lawan.

Kelebihan bermain di laman sendiri turut memberikan kelebihan moral terhadap pasukan memandangkan penyokong tidak mahu ketinggalan untuk menyaksikan aksi Derby Pantai Timur di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kelantan.

Namun, harapan untuk menonton persembahan terbaik tidak kesampaian apabila skuad kendalian Alfredo Vera ketinggalan dengan empat gol pada separuh masa pertama.

Kelantan FC yang turun tanpa kehadiran rekrut-rekrut baharu terpaksa meletakkan kepercayaan terhadap pemain muda dan kurang berpengalaman dalam Liga Super.

Tidak cukup dengan itu, semangat peminat setia naib juara Liga Perdana 2022 tersebut turut terbantut akibat kualiti padang yang berlecak dek hujan lebat sebelum perlawanan berkenaan bermula.

367711296_277742048300570_7761003319095489884_n

Keputusan mengecewakan disaksikan skuad TRW ketika beraksi di laman sendiri.Facebook/TRW Kelantan FC

Walaupun terdapat sedikit percubaan yang dibuat untuk memastikan keputusan akhir perlawanan masih boleh diterima, empat gol pada separuh masa kedua menyaksikan skuad TRW mengalami kekalahan paling buruk dalam sejarah Liga Super kelab.

Catatan skor itu sekali gus meletakkan pasukan Pantai Timur itu di tangga ke-13 liga dengan harapan untuk mendaki carta semakin sukar selepas ini.

Situasi berkenaan menyebabkan lebih ramai peminat setia pasukan mula memilih untuk menarik semula sokongan mereka terhadap Kelantan FC untuk baki musim 2023.

Malah, lebih mengejutkan lagi, sesetengah daripada mereka berpendapat bahawa penyingkiran ke Liga M3 adalah langkah terbaik untuk skuad TRW.

"Main dengan tiada maruah. Kalah sahaja memang dah satu hal, tetapi boleh diterima lagi. Ini dibolosi sebanyak lapan kali, lebih baik turun liga," kata Along Nasi Kabu.

"Maaf, tak sanggup rasanya nak habiskan baki perlawanan. Tolong pindahkan ke Liga M3 terus, apa guna masuk Liga Super jika jadi pasukan belasahan?" kata Norhisyam Rahman.

"Turun ke Liga M3 lebih baik, selesaikan dahulu masalah. Selepas itu, baru naik semula ke Liga Super. Tak perlu gunakan pemain import, gunakan apa yang ada sahaja terlebih dahulu," kata Muhd Soleh Hassan.

Sebelum ini, terdapat laporan yang mengatakan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) tidak akan melaksanakan proses penyingkiran berikutan pembubaran Liga Perdana tahun lalu.

Bagaimanapun, situasi itu sepertinya akan berubah dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Datuk Stuart Ramalingam memberi bayangan bahawa ia akan dikembalikan.

Menurut cadangan awal, terdapat kemungkinan bahawa dua pasukan tercorot akan diturunkan ke Liga M3 dengan syarat kelab bawahan dapat memperolehi lesen untuk beraksi di Liga Super terlebih dahulu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram