OKS, Rajagobal pernah 'berebut' bintang JDT, Pahang dan TBG demi lencana di dada


  • Podium
  • Selasa, 15 Ogos 2023

Kim Swee (kanan) dan Rajagobal ketika menyandang jawatan sebagai pengendali Harimau Malaya dan Harimau Muda. — Facebook/FAM

PERLAWANAN penting membabitkan Harimau Malaya dan Harimau Muda sering kali diadakan pada tarikh yang hampir sama sehingga menyaksikan ada pemain muda terpaksa digunakan khidmatnya untuk skuad senior kerana kualiti dimiliki mereka.

Isu perebutan pemain untuk tugasan negara ini bukan perkara asing lagi apabila pada 10 tahun lepas menyaksikan dua pengendali kebangsaan 'berebut' beberapa pemain untuk memperkuatkan skuad masing-masing.

Masalah perebutan pemain berkenaan melibatkan Datuk Ong Kim Swee yang ketika itu melatih Harimau Muda dan akan terlibat dengan kejohanan Pestabola Merdeka sementara Datuk K. Rajagobal pula memerlukan beberapa tonggak untuk memperkuatkan pasukan senior bagi perlawanan antarsbangsa tier 1.

Perkara tersebut akhirnya dapat diselesaikan secara baik apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ketika itu memutuskan untuk memberikan Kim Swee empat daripada enam pemain yang diminati olehnya dan jurulatih kebangsaan, Datuk K. Rajagobal.

Berdasarkan laporan The Star pada 15 Ogos 2013, Setiausaha Agung FAM ketika itu, Datuk Hamidin Mohd Amin mengesahkan bahawa keputusan mengenai enam pemain yang diminta oleh kedua-dua jurulatih sudah diambil, tetapi enggan menamakan bintang tersebut.

Selepas badan induk tersebut melakukan perbincangan dengan kedua-dua jurulatih ketika itu, mereka akhirnya memutuskan bahawa pemain pertahanan, K. Rueben; Wan Zack Haikal dan Mohd Fadhli Shas serta pemain tengah Nazmi Faiz Mansor akan menyertai pasukan Kim Swee yang akan beraksi pada kejohanan Pestabola Merdeka di Kuantan, Pahang.

WhatsApp Image 2023-08-15 at 10.29.06-2

Anak-anak buah Kim Swee menjuarai Pestabola Merdeka Edisi ke-41. — Facebook/FAM

Rajagobal pula akan mendapat khidmat pemain pertahanan, Nik Mohd Shahrul Azim dan pemain warisan, Putera Nadher Amarhan (Junior Eldstal) untuk perlawanan antarabangsa tier 1 menentang China.

"Kami tidak boleh memihak sesiapa kerana kedua-dua pasukan penting bagi kami,” kata Hamidin ketika itu sewaktu mengesahkan mengenai isu perebutan enam pemain berkenaan.

Kim Swee juga berpendapat bahawa keputusan itu memihak kepada kedua-dua pasukan dan mereka gembira dengan pemain yang ada.

"Ia adalah keputusan yang adil untuk kedua-dua pasukan dan jurulatih gembira dengannya.

"Pemain yang akan menyertai Harimau Muda tidak dijamin tempat pertama pasukan tetapi dengan keputusan ini, saya akan mempunyai lebih banyak pilihan dalam pasukan.

"Saya gembira mempunyai Rueben dan Fadhli Shas untuk kejohanan Pestabola Merdeka. Mereka akan mengukuhkan barisan belakang saya," katanya ketika itu.

Sementara itu, Rajagobal berkata, beliau gembira isu itu dapat diselesaikan kerana ingin memberi tumpuan kepada perlawanan menentang China dengan pemain yang ada.

Untuk rekod, anak-anak buah Rajagobal tumpas 0-2 dalam aksi persahabatan yang diadakan di Stadium tianjin, Beijing.

Harimau Muda pula sebaliknya menjuarai Pestabola Merdeka Edisi ke-41 selepas menewaskan Myanmar 2-0 pada aksi final di Stadium Darul Makmur pada 14 September 2013. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram