PRESTASI tidak menentu Sri Pahang FC dalam Liga Super menyaksikan mereka jatuh dalam carta Liga Super ke tangga kelima selepas 19 perlawanan.
Dalam lima aksi terakhir liga, pasukan Pantai Timur itu tewas sebanyak dua kali kepada Sabah FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC dengan kedua-dua perlawanan tersebut berlangsung di tempat lawan.
Keputusan kurang konsisten itu turut memberi kesan ketika skuad Tok Gajah memulakan kempen Piala Malaysia berdepan pasukan Liga M3, Harini FT.
Perlawanan yang berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Negeri Sembilan pada 4 Ogos lalu menyaksikan Sri Pahang FC mendahului dengan dua gol hasil jaringan David Rowley dan Syazwan Andik.
Namun, mereka kemudiannya berdepan detik cemas apabila tuan rumah mengikat kedudukan pada separuh masa kedua menerusi Fikri Shah dan Norshahrul Idlan Talaha.
Skuad Tok Gajah bergelut untuk meraih kemenangan ketika berdepan Harini FT awal bulan lalu. — Facebook/Sri Pahang FC
Bagaimanapun, beberapa minit sebelum wisel penamat ditiup, anak-anak buah Fandi Ahmad berjaya mendapatkan semula kelebihan apabila pemain gantian Baqiuddin Shamsudin menggegarkan gawang gol Harini FT.
Kemenangan tipis itu jelas memberi tekanan buat penyokong skuad Tok Gajah yang mula gusar akan kebolehan pasukan berkenaan untuk mara ke peringkat seterusnya.
Tetapi, bagi legenda bola sepak Pahang, Datuk Jamal Nasir berpendapat pasukannya itu mampu memberikan aksi terbaik ketika bermain di laman sendiri.
"Sebelum ini, ketika berdepan kelab Liga M3, Malaysian University pun Harini FT tak boleh nak dapatkan skor banyak.
"Jadi, untuk berdepan Sri Pahang yang berada dalam kelompok lima pasukan teratas Liga Super, bukan saya nak takbur atau riak, tapi Sri Pahang boleh menang bergaya," katanya kepada Majoriti.
Mat Yo mencipta kejutan apabila menjaringkan gol ketika berdepan Sri Pahang FC. — Facebook/Harini FT
Katanya, kesukaran yang dialami Harini FT ketika beraksi di liga bawahan dalam aksi sebelum ini membuktikan mereka akan bergelut dalam perlawanan kedua Piala Malaysia itu.
Skuad Tok Gajah bakal berdepan lawannya itu dalam aksi timbal balik yang akan berlangsung di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang pada Ahad depan.
Ketika ditanya mengenai ancaman yang boleh diberikan Norshahrul dalam jentera serangan Harini FT, Jamal berpendapat ia bukanlah isu besar yang perlu difokuskan pihak kejurulatihan.
"Dalam bola sepak ni, tak perlu berikan tumpuan kepada sesiapa sekali pun. Yang penting, anda perlu tahu apakah kekuatan anda dan apa pula kelemahan pihak lawan.
"Mungkin Mat Yo (Norshahrul) main pada separuh masa kedua sahaja, tak main secara keseluruhan," katanya.
Sekiranya Sri Pahang melangkah ke peringkat suku akhir, mereka bakal menanti cabaran besar daripada Kuala Lumpur (KL) City FC atau Penang FC. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram