Mesin gol mula berfungsi, Boakye beri 'warning' kepada JDT


  • Podium
  • Isnin, 14 Ogos 2023

Sekitar aksi menarik Selangor FC meraikan kegembiraan selepas menewaskan skuad Jang. — Facebook/selangorfc

SELANGOR FC berpesta gol apabila berjaya membawa pulang tiga mata penuh menewaskan Negeri Sembilan FC (NSFC) dengan keputusan 4-0 dalam aksi Liga Super 2023 pada Isnin.

Kemenangan bergaya itu mengekalkan kedudukan The Red Giants yang menduduki tangga kedua dalam saingan Liga Super dengan mengutip 46 mata selepas 20 perlawanan.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan itu menyaksikan kedua-dua pasukan dilihat tenang mengawal situasi selain masing-masing sering membuat serangan balas.

Namun begitu, skuad kendalian K. Devan tidak dapat bertahan dengan baik apabila pasukan pelawat berhasil memecahkan penguasaan bola skuad Jang menerusi jaringan pemain import, Richmond Boakye yang membuka tirai jaringan menewaskan penjaga gol NSFC, Firdaus Irman pada minit ke-27.

WhatsApp Image 2023-08-14 at 23.21.07

Sebahagian aksi pemain Selangor berdepan NSFC. — Facebook/selangorfc

Bersambung babak kedua perlawanan, asakan jentera serangan Selangor tidak menunggu lama untuk menambah jaringan menerusi Ayron del Valle pada minit ke-59.

Tidak berpuas hati dengan dua jaringan yang diraih, skuad The Red Giants sekali lagi memecahkan benteng pertahanan skuad Jang menerusi jaringan cantik Yohandry Orozco.

Dalam pada itu, Selangor menutup tirai perlawanan di Paroi dengan jaringan keempat sekali gus gol kemenangan menerusi bek tengah, Harith Haiqal pada minit ke-83.

Rata-rata penyokong memuji pemain import kelahiran Ghana itu yang semakin mendapat rentak permainan bersama pasukan kendalian Tan Cheng Hoe itu.

"Jaga-jaga JDT, mesin gol Selangor sudah menemui sentuhan berbisa ya," kata Muhammad Hazwan.

"Boakye sudah tersedar daripada pengsan dengan meledak gol, kasut emas menanti," kata Khairi Alang.

"Nampak sudah aura Boakye, confirm lepas ni cetak lebih banyak jaringan," kata Azam Ali.

Untuk rekod, Boakye sudah merekodkan dua gol peribadi dalam saingan Liga Super dalam enam perlawanan berlangsung.

Selepas ini, Selangor akan berkunjung ke Stadium Sultan Muhamad IV, Kota Bharu, Kelantan untuk melengkapkan perlawanan ke-21 berdepan Kelantan FC pada 25 Ogos nanti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram