KEHANGATAN di luar padang merupakan salah satu rencah penting untuk menaikkan lagi suasana bola sepak di mana-mana liga seluruh dunia.
Meskipun kejadian itu dilihat hanya akan mencalarkan imej dan reputasi sesiapa yang terlibat, ia juga mampu mencuri perhatian peminat sukan berkenaan.
Salah sebuah insiden yang pastinya sukar dilupakan adalah ketika pertemuan hangat antara dua pengurus ternama di peringkat antarabangsa iaitu Antonio Conte dan Thomas Tuchel.
Mereka yang ketika itu mengendalikan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Tottenham Hotspur dan Chelsea pernah bertelagah selepas perlawanan berakhir antara kedua-dua pasukan pada musim 2022/23.
Pertembungan itu sememangnya cukup hangat sejak wisel pertama ditiupkan memandangkan ia merupakan aksi kedua masing-masing dalam liga.
Ia dapat disaksikan apabila tercetusnya perang mulut antara kedua-dua jurulatih ketika Conte meraikan jaringan penyamaan Pierre-Emile Hojbjerg dengan terlalu ghairah.
Tindakan berkenaan mengakibatkan Tuchel meluru ke arahnya untuk mempertikaikan gol itu dengan ribuan penyokong di Stadium Stamford Bridge, London, England turut mempersoalkannya.
Pertelingkahan berlaku antara kedua-dua pengurus selepas perlawanan EPL kira-kira setahun lalu.
Situasi kembali hangat pada separuh masa kedua permainan apabila Chelsea meraih semula kelebihan hasil jaringan Reece James, sekali gus menyaksikan pengurus The Blues berlari di kawasan teknikal kejurulatihan untuk meraikannya.
Namun, drama ketika pertembungan tersebut tidak terhenti di situ selepas Conte sekali lagi kelihatan terlalu bergembira di tepi padang apabila penyerang Spurs, Harry Kane menyamakan kedudukan pada masa tambahan.
Berang dengan sambutan itu, Tuchel kemudiannya dengan sengaja mencengkam tangan pengurus kelahiran Itali itu ketika mereka saling bersalaman tidak lama selepas wisel penamat ditiupkan.
Kejadian difahamkan berlaku akibat keengganan Conte untuk bertentang mata dengan Tuchel yang sememangnya sudah cukup beremosi dengan mutu pengadilan.
Pertikaian itu memaksa pihak kejurulatihan Chelsea dan Tottenham untuk meluru ke arah kedua-dua individu tersebut untuk meleraikan mereka daripada situasi lebih buruk terjadi.
Kini, kedua-dua pengendali ternama tersebut tidak lagi bersama kelab EPL itu apabila masing-masing digugurkan akibat prestasi tidak menentu pada pertengahan musim lalu.
Tuchel kini sedang diberikan peluang untuk menguruskan gergasi bola sepak Jerman, Bayern Munich sementara Conte memilih untuk berehat sejak dihentikan tugasnya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram