PEMAIN wanita antarabangsa England, Lauren James dilayangkan kad merah dalam babak akhir perlawanan pusingan 16 Piala Dunia Wanita Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2023 ketika menentang Nigeria pada Isnin.
Dengan perlawanan sengit tanpa jaringan selepas 84 minit di Brisbane, Australia antara kedua-dua pasukan, Lauren dilihat dengan sengaja memijak pemain pertahanan Nigeria, Michelle Alozie.
Penyerang England berjersi nombor tujuh itu pada asalnya hanya dilayangkan kad kuning untuk insiden tersebut sebelum VAR (Sistem Video Pembantu Pengadil) mengesyorkan untuk melakukan semakan.
Tayangan semula menunjukkan pemain berusia 21 tahun itu seolah-olah sengaja memijak Alozie ketika dia bangun dengan pengadil Melissa Borjas memutuskan untuk melayangkan kad merah dan bukannya kad kuning.
Walaupun kehilangan adik kepada bintang Chelsea, Reece James itu, skuad Lionesses berjaya mara ke suku akhir selepas menewaskan Nigeria menerusi sepakan penalti.
Lauren bagaimanapun akan terlepas sekurang-kurangnya satu perlawanan akibat kad merah itu tetapi boleh digantung tiga kali aksi jika didapati bersalah atas kelakuan ganas berulang lagi.
Pemain Chelsea itu sebelum ini mempamerkan aksi cemerlang di Piala Dunia Wanita ini dengan menjaringkan tiga gol dan menyumbang tiga hantaran bantuan untuk Lionesses di peringkat kumpulan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
