SELANGOR FC tidak mempunyai masalah untuk kekal unggul di tangga kedua Liga Super selepas membenam Negeri Sembilan FC (NSFC) dengan jaringan 4-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban, Negeri Sembilan pada Isnin.
Aksi di gelanggang pelawat itu menyaksikan Gergasi Merah menguasasi perlawanan dan taktikal yang diberikan pengendalinya, Tan Cheng Hoe dapat diterjemahkan dengan baik oleh barisan pemain Selangor dengan kemenangan selesa.
Penyerang import, Richmond Boakye menjadi pemain pertama membuka akaun dalam aksi tersebut, diikuti Ayron Del Valle (minit ke-50), Jose Orozco (70') dan pada minit-82, pertahanan Selangor, Harith Haiqal Adam Afkar mematikan terus perjuangan Negeri Sembilan.
Ia adalah kemenangan kedua berturut-turut Gergasi Merah selepas sebelum ini turut meraih tiga mata ke atas Kuala Lumpur (KL) City 2-0 dan sekali gus mengesahkan status sebagai raja derbi Lembah Klang.
Dalam dua perlawanan tersebut menyaksikan pemain muda, Harith Haiqal mencuri tumpuan dengan kualiti permainannya yang kian meningkat dan ubi muda berusia 21 tahun itu juga mencetak satu gol.
Dengan dua gol dari perlawanan menang ke atas skuad Warga Kota dan NSFC, pemain kebangsaan Bawah-23 tahun (B-23) itu sudah merekodkan tiga jaringan gol dalam tujuh penampilan Liga Super musim ini.
Harith Haiqal sudah mencetak enam jaringan gol musim ini. — Facebook/selangorfc
Pujian demi pujian diraih Harith Haiqal dan ada juga penyokong mula menyamakan gaya permainan pemain kelahiran Selangor itu dengan bekas bintang Liga Perdana Inggeris (EPL), John Terry dan La Liga, Sergio Ramos.
"Harith Haiqal ini macam John Terry lah lebih kurang. Setiap minggu score goal tanduk dalam situasi bola mati," kata penyokong Gergasi Merah. Romy Jarr.
"Sergio Ramos bagi aku, goal scoring centre-back," pendapat dari seorang lagi penyokong, Vincent Vega.
Persamaaan dengan bekas kapten Chelsea, Terry itu timbul apabila Harith Haikal memperolehi jaringan gol dengan tandukan dalam dua aksi terbaharu menentang The Jang dan The City Boys.
Selain Terry, Harith Haiqal juga dikatakan mirip dengan bekas pertahanan kental Real Madrid, Sergio Ramos kerana walaupun beraksi sebagai bek tengah namun kedua-dua mereka mampu mencetak gol untuk pasukan.
Ramos yang kini berstatus tanpa kelab itu sudah mencetak 110 jaringan gol dan membuat 41 hantaran bantuan sepanjang kariernya bergelar sebagai pemain bola sepak profesional. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram