Tiga bintang Chelsea termasuk Lukaku pernah puji skuad Harimau Malaya


  • Podium
  • Ahad, 23 Jul 2023

Antara aksi pemain negara ketika perlawanan menentang Chelsea pada 10 tahun lalu. — Agensi

PERCAYA atau tidak, persembahan skuad kebangsaan pernah mendapat pujian tidak henti-henti daripada beberapa bintang pasukan gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea FC.

Pujian menggunung daripada beberapa pemain skuad The Blues itu hadir selepas perlawanan Pilihan Malaysia XI tewas 4-1 di tangan Chelsea dan ketika itu skuad kebangsaan dikendalikan oleh Datuk K. Rajagopal.

Empat jaringan gol The Blues dicetak oleh Bertrand Traore, Kevin De Bruyne, Romelu Lukaku, dan Victor Mosea, manakala gol saguhati Malaysia disumbangkan oleh Fadhli Shahs.

Memetik laporan pada 23 Julai 2013, pemain pertahanan Chelsea, Branislav Ivanovic, yang bermula di bek kanan mengatakan bahawa terdapat peningkatan ketara dalam pasukan Malaysia.

“Ia adalah perlawanan yang cukup bagus pada pendapat saya, terutamanya pada separuh masa pertama apabila kami bermain lebih baik.

“Saya rasa pemain Malaysia cukup bagus dan ada peningkatan sejak kami berdepan dengan mereka dua tahun lalu.

“Mereka suka bermain-main dengan bola dan membuktikan mereka juga boleh menjaringkan gol.

“Oleh itu, saya gembira dengan kemenangan dan seronok dengan kemajuan yang kami tunjukkan pada peringkat pramusim ini,” kata kata pemain Serbia itu.

WhatsApp Image 2023-07-23 at 11.45.23

Antara barisan pemain Malaysia ketika aksi menentang Chelsea. — Agensi

Penyerang Belgium tinggi lampai, Romelu Lukaku, yang menjaringkan gol ketiga turut senada dengan Ivanovic mengatakan bahawa pasukan kebangsaan di bawah kendalian Rajagopal menunjukkan semangat mereka dan tidak gentar di atas padang.

“Pertama sekali, suasana di stadium sangat hebat. Ia sesuatu yang saya belum pernah lihat sebelum ini.

“Kedua, pasukan Malaysia sangat bagus dan bertahan dengan baik,” kata Lukaku.

Sementara itu, pemain muda Chelsea, Josh McEachran yang menghabiskan musim lalu secara pinjaman di Middlesbrough, percaya bahawa perlawanan itu adalah cara yang baik untuk membuktikan nilainya kepada pengurus Jose Mourinho.

“Saya ingin berfikir bahawa saya telah menarik perhatian pengurus. Mengenai perlawanan itu, saya rasa kami melakukan yang terbaik secara individu dan kolektif sebagai satu pasukan.

“Lawan kami juga cukup bagus dan saya fikir mereka mempunyai beberapa pemain yang sangat bagus,” kata McEachran yang masuk pada separuh masa kedua pada aksi tersebut.

Pada aksi tersebut, Malaysia membarisi para pemain antaranya Safee Sali, Syakir Shaari, S.Kunalan dan pemain tengah Skuad Harimau Muda, Junior Eldstal.

Selepas aksi di tanah air, Chelsea berangkat ke Indonesia untuk perlawanan akhir jelajah Asia mereka yang mana mereka akan menentang Indonesia All-Stars pada Khamis. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram