TIDAK boleh dinafikan bahawa kualiti program pembangunan bola sepak di negara masih jauh ketinggalan sekiranya hendak dibandingkan di rantau Asia Tenggara.
Selain pihak kejurulatihan yang kurang berpendidikan dalam melahirkan bakat muda, terdapat juga kekurangan dari segi fasiliti seperti mana sering didedahkan.
Berdasarkan perkongsian-perkongsian pernah dibuat sebelum ini, masalah padang tidak terurus serta ketiadaan alatan latihan diperlukan merupakan antara sebahagian perkara isu dihadapi program berkenaan.
Baru-baru ini, seorang lagi individu turut tampil untuk menceritakan situasi terbabit menerusi satu perkongsian di laman media sosial X (Twitter).
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Fathul Bari Mat Jahya mendedahkan bahawa adanya masalah kemudahan yang dialami dalam salah sebuah pusat latihan kendalian Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).
Fathul Bari berkongsi perkara itu menerusi satu ciapan di Twitter peribadinya. — Agensi
"Maaf YB Hannah Yeoh, cuma nak kongsikan aduan daripada jurulatih-jurulatih program NFDP Perlis yang berada di bawah kendalian KBS (Kementerian Belia dan Sukan). Perlis antara negeri yang menghasilkan tunas bola sepak terbaik.
"Jadi, mohon YB untuk bantu naik taraf peralatan sukan yang diperlukan untuk latihan. Aduan telah disampaikan oleh mereka sejak awal tahun," ciapnya.
Hantaran itu dibuat berserta sekeping foto yang memaparkan beberapa biji bola sepak yang berada dalam keadaan koyak dan menyedihkan.
Sebelum ini, kualiti fasiliti di pusat latihan NFDP sering menimbulkan perbualan hangat dengan penyokong bola sepak tempatan mahukan perubahan segera dibuat.
Tetapi, sehingga kini, wujudnya perdebatan yang mempersoalkan sekiranya isu berkenaan sudah diselesaikan KBS mahupun Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram