Syihan Hazmi antara 3 pemain pernah dilarang sertai latihan di Eropah


  • Podium
  • Ahad, 16 Jul 2023

Syihan kini menjadi penjaga gol nombor satu buat pasukan kebangsaan.

SEBELUM wujudnya Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) dan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) rata-rata pemain muda bola sepak akan dikumpulkan dalam sekolah-sekolah sukan negeri.

Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ), Kuala Lumpur antara tempat berkumpulnya pemain-pemain projek skuad muda kebangsaan yang akan dibentuk sebagai satu pasukan iaitu Harimau Muda A, B dan C.

Antara graduan SSBJ ialah Safee Sali, Mahali Jasuli dan ramai lagi produk sekolah sukan yang menjadi kebangaan negara sedang beraksi sebagai pemain profesional dalam Liga Malaysia.

Mengimbau semula sejarah 10 tahun lalu pada tarikh 16 Julai 2013, SSBJ pernah tidak membenarkan tiga pelajarnya mengikuti latihan di Eropah bersama Harimau Muda C bagi persiapan Kelayakan Piala Asia Bawah 19 tahun (B-19) dan Piala AFF B-19.

Ketika itu ketua jurulatih B-19, Aminuddin Hussin kecewa dengan tindakan pengurusan SSBJ yang tidak membenarkan tiga tonggak utamanya menjalani latihan di Slovakia ketika itu.

WhatsApp Image 2023-07-16 at 2.07.10 PM

Syihan (kiri), Raphi (tengah), Arif (kanan) tidak dilepaskan pihak pengurusan SSBJ untuk bersama Harimau Muda C.

Tiga tonggak utama itu ialah Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, Mohd Raphi Azizan Mariappen dan Mohd Arif Fadzilah Abu Bakar yang mana tidak dilepaskan pihak SSBJ dengan alasan mereka sudah lama tidak berada di sekolah.

Masalah ini sehingga memaksa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) terpaksa masuk campur dan berbincang dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menyelesaikan perkara itu.

Setiausaha Agung FAM ketika itu, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, mereka akan bertemu dengan pegawai KPM dan SSBJ semasa mesyuarat jawatankuasa kerja pada 1 Ogos untuk menyelesaikan masalah pemain negara yang belajar di sekolah sukan negara.

"Kami tidak mahu episod seperti ini berlaku pada masa hadapan dan menjejaskan program pembangunan kami.

"Kita akan berjumpa dengan pegawai KPM dan SSBJ untuk berbincang dan menyelesaikan masalah ini. Ini bukan masalah besar kerana tiga pemain itu akan digantikan daripada kumpulan pemain yang kita ada.

"Kami hanya tidak mahu perkara ini berulang pada masa hadapan, katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram