Pelatih AMD perkuat Harimau Selatan? JDT tak buang masa untuk kekal sebagai kuasa besar bola sepak


  • Podium
  • Isnin, 10 Jul 2023

JDT mengadakan perbincangan dengan AMD berkaitan proses menandatangani pelatih-pelatih selepas mereka tamat program bersama program itu. — Twitter/AMD

JOHOR Darul Takzim (JDT) terus mengorak langkah proaktif dalam memastikan perkembangan akademi mereka mempunyai pemain yang berkualiti.

Sebelum ini JDT sudahpun mula merekrut pemain cilik di serata Malaysia tidak mengira negeri kelahiran bakal prospek masa depan negara itu.

Antara prospek masa depan negara yang berjaya dipancing Akademi JDT ialah Muhammad Aqil Mohd Shamsul Aswadi.

Muhammad Aqil sebelum ini tular di media sosial yang dilihat cukup tenang dalam melakukan hantaran serta mengawal bola dalam satu perlawanan menentang pemain lebih berusia.

Akademi JDT adalah satu-satunya akademi kelab bola sepak profesional sepenuh masa yang menawarkan latihan bola sepak, pendidikan dan penginapan.

JDT-AMD

Javier Ribera (kanan) mewakili JDT dalam perbincangan dua hala bersama AMD. Twitter/AMD

Terbaharu, JDT dengan kerjasama Akademi Mokhtar Dahari (AMD) mengumumkan perbincangan dua hala tentang proses menandatangani pelatih-pelatih AMD selepas mereka menamatkan pembelajaran di akademi tersebut.

Perbincangan yang dijalankan pada Isnin merupakan prosedur operasi standard (SOP) bagi kelab-kelab di dalam negara mahupun luar negara yang ingin mendapatkan khidmat pelatih-pelatih AMD selepas mereka menamatkan program di bawah AMD.

SOP ini diguna pakai bertujuan untuk memudahkan semua proses dokumentasi dan perbincangan yang lebih terbuka kepada pelatih dan pihak pengurusan.

Muhd Aqil memilih JDT selepas tular di media sosial. Facebook/JDT

Untuk info, perbincangan itu dihadiri oleh Pengarah Akademi JDT, Javier Jorda Ribera serta disertai oleh Pengurus Besar NFDP, Yusuf Ibrahim, Pengurus AMD, Zairul Faiz Zainuddin dan Timbalan Pengarah Teknikal AMD, Veloo Sinathamby.

Selain perbincangan dengan AMD, JDT juga difahamkan menjalinkan kerjasama dengan Persatuan Bolasepak Singapura (FAS) dalam pembangunan bola sepak.

Menurut laporan Channel News Asia mendedahkan kerjasama bakal dimeterai antara Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) dan Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS).

Pemeteraian kerjasama ini bakal disaksikan oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim dan Menteri Kebudayaan, Komuniti dan Belia Singapura, Edwin Tong.

Ini merupakan sebahagian daripada jadual lawatan rasmi baginda ke Singapura selama tiga hari bermula Isnin.

Kerjasama ini bakal membawa kepada pembentukan perlawanan piala tahunan membabitkan Pilihan Singapura dan Pilihan Johor.

Selain itu, PBNJ dan FAS juga bakal bekerjasama dalam pelbagai program pembangunan bola sepak terutama di peringkat akar umbi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram