KONTINJEN negara yang dihantar untuk bertanding dalam Temasya Sukan Remaja Komanwel (CYG) di Trinidad & Tobago awal bulan lalu menghadiahkan beberapa medal berharga.
Perenang muda negara, Goh Li Hen menghadiahkan pingat emas selepas mengungguli acara 200 meter (m) kuak kupu-kupu pada 10 Ogos lalu.
Turut meraih satu pingat perak ialah atlet berbasikal trek wanita, Nur Alyssa Mohd Farid dalam acara pecut selain Lau New Joe yang membawa pulang pingat gangsa dalam acara lebuh raya lelaki.
Pencapaian itu menyaksikan temasya negara menamatkan temasya di kedudukan ke-14 yang mana mereka terikat dengan pasukan jemputan, Jersey.
Rekod tersebut adalah lebih baik berbanding kutipan pingat mereka pada 2017 apabila kontinjen negara pulang dengan tangan kosong di Bahamas.
Li Hen menyumbang pingat emas sulung ketika CYG Trinidad & Tobago. — Agensi
Bagi memastikan moral mereka tidak luntur, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim sempat menyambut kepulangan mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada Selasa.
"Berbangga dengan semua atlet kebangsaan kita. Hari ini menyambut kepulangan kontinjen Malaysia pulang dari Temasya Sukan Remaja Komanwel (CYG) Trinidad & Tobago," tulisnya menerusi satu kenyataan di Facebook.
Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu turut bercadang untuk memberikan ganjaran sebagai insentif kepada atlet yang berjaya membawa pulang pingat dari CYG 2023.
Selain itu, Adam turut sempat menyambut kepulangan atlet berbasikal yang baru sahaja menamatkan kempen mereka dalam Kejohanan Dunia Para Sukan Berbasikal UCI 2023 Glasgow, United Kingdom.
"Tahniah kepada Nur Suraiya Muhammad Zamri, Farina Shawati Mohd Adnan, Mohd Khairul Hazwan Wahab dan Muhammad Khairul Adha Rosol mendapat pingat gangsa dalam acara Team Sprint.
"Melalui pencapaian ini, kita dapat mengekalkan slot kelayakan ke Paralimpik Paris 2024 nanti," tulisnya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram