Bekas Setiausaha Kewangan KBS dipenjara 15 tahun, denda RM284.2 juta kerana rasuah dan gubah wang haram


Hakim, Kamarudin Kamsun menjatuhkan hukuman tersebut selepas mendapati Otman, 64, bersalah terhadap semua pertuduhan yang dilakukan sejak tahun 2012. — Gambar hiasan

MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur pada Khamis menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda sejumlah RM284.2 juta terhadap Bekas Setiausaha Bahagian Kewangan, Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Otman Arsahd selepas didapati bersalah atas 32 tuduhan rasuah dan 64 tuduhan melibatkan pengubahan wang haram.

Hakim, Kamarudin Kamsun menjatuhkan hukuman tersebut selepas mendapati Otman bersalah terhadap semua pertuduhan yang dilakukan sejak tahun 2012.

Pada 31 Mac 2016, Otman didakwa atas 32 kesalahan melibatkan penyalahgunaan kuasa dan menghantar tuntutan palsu bernilai RM38.4 juta di Majlis Sukan Negara (MSN), Kompleks Sukan Bukit Jalil, Kuala Lumpur di antara tarikh 28 Februari 2012 hingga 18 November 2015.

Daripada jumlah pertuduhan tersebut, 17 daripada pertuduhan itu melibatkan mengemukakan tuntutan palsu yang dirangka di bawah Seksyen 18 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, manakala 15 lagi pertuduhan melibatkan salah guna kedudukannya dan disabitkan mengikut Seksyen 23(1) Akta undang-undang sama.

Pada April 2016, Otman didakwa atas 64 pertuduhan menerima RM16.623 juta hasil daripada aktiviti menyalahi undang-undang melalui cek yang dimasukkan ke dalam akaun Maybank, RHB dan CIMB Berhad antara 7 Mac 2012 dan 11 Disember 2015.

Beliau didakwa melakukan kesalahan terbabit di lokasi berbeza, termasuk cawangan RHB Bank di Presint 8, Putrajaya; Menara Maybank, Jalan Tun Perak, dan cawangan Maybank di Jalan Raja, Kuala Lumpur.

Pertuduhan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman maksimum 15 tahun, atau denda tidak melebihi lima kali ganda daripada jumlah hasil aktiviti yang menyalahi undang-undang.

Mahkamah kini sedang mendengar mitigasi oleh pihak pendakwaan dan pembelaan terhadap keputusan itu. Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram