JURULATIH badminton, Wong Tat Meng perlu diberi peluang untuk melatih dan membantu Lee Zii Jia, walaupun pemain perseorangan lelaki profesional negara tersebut tidak berada dalam prestasi terbaiknya setakat ini.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, jika melihat kepada prestasi Zii Jia setakat ini, beliau yakin Tat Meng mampu menajamkan lagi bakat pemain badminton itu meskipun tewas beberapa kali dalam perlawanan sebelum ini.
"Beri dia peluang untuk membantu Zii Jia kerana dia baru sahaja menyandang jawatan tersebut dan bukan serta-merta boleh dapatkan hasil.
"Sehubungan itu, bagi ruang untuk jurulatih melatih Zii Jia agar dapat kembali kepada prestasi asalnya.
"Saya juga berharap agar Zii Jia boleh buat 'come back' pada perlawanan akan datang," katanya.
Beliau berkata demikian ketika majlis pelancaran 30 tahun Al-Ikhsan di IOI City Mall, Putrajaya pada Khamis.
Tambahnya lagi, Zii Jia masih kekal dalam program Road To Gold (RTG) Olimpik 2024.
"Seperti yang telah saya umumkan sebelum ini, Zii Jia masih lagi kekal dalam program RTG.
"Oleh itu, KBS (Kementerian Belia dan Sukan) sedang memantau dan 'review' (prestasi) pemain itu hingga September nanti," katanya.
Hannah berharap agar Zii Jia diberi peluang untuk kembali kepada prestasi asalnya.
Mengulas lanjut mengenai program Road To Gold, Hannah menegaskan bahawa, bukan hanya Datuk Azizulhasni Awang mempunyai peluang mendapatkan pingat emas.
Sebaliknya, atlet lain yang dilihat berpotensi seperti Aaron-Wooi Yik turut mempunyai peluang sama.
"Kriteria itu juga akan dibincangkan September.
"Saya minta tolong bersabar. Jangan hanya kalah satu perlawanan terus atlet itu dikeluarkan . Ini tidak baik untuk industri sukan negara," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Hannah berkata, KBS ketika ini juga masih memantau proses kelayakan atlet-atlet renang dan diving sehingga September.
Katanya, mereka masih mempunyai peluang untuk menyertai Sukan Olimpik 2024 di Paris.
Mengulas tentang gambar Kompleks Sukan Terengganu yang baru disiapkan seolah-olah tidak setimpal dengan bajet yang dikeluarkan oleh KBS, Hannah berkata, dia belum melihat lagi gambar tersebut.
"Saya tak lihat lagi dan kami akan meneliti terlebih dahulu tentang isu tersebut.
"Perlu saya ingatkan sekali lagi, sekarang adalah musim pilihan raya. Apa sahaja yang anda (media) baca, kita akan tengok terlebih dahulu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram