Selepas Kijang Hijau, Sang Penyu yakin mampu tumpaskan Kelantan FC


  • Podium
  • Isnin, 14 Ogos 2023

Penyerang kelahiran Croatia, Ivan Mamut merupakan senjata utama Sang Penyu untuk berdepan Kelantan FC. — Instagram/officialterengganufc

HANYA beza enam hari selepas menewaskan Kelantan United FC 4-1, Terengganu FC (TFC) berharap agar dapat membawa pulang tiga mata penuh di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan dalam saingan Liga Super.

Ketua Jurulatih TFC, Tomislav Steinbruckner berharap mereka memperoleh kemenangan kedua berturut-turut dalam liga ketika berdepan Kelantan FC pada Isnin.

Pengendali kelahiran Croatia itu berkata, kemenangan ke atas Kelantan United adalah pembakar semangat kerana sebelum ini mereka seri tiga perlawanan berturut-turut ketika menentang Kuala Lumpur City FC (3-3), PDRM FC (0-0) dan Negeri Sembilan FC (1-1).

“Mendapat tiga mata menentang Kelantan United adalah baik dan kini kami berharap untuk mendapat satu lagi mata penuh menentang pasukan Kelantan FC. Kami pernah menang di padang tersebut sebelum ini dan kami percaya kami boleh melakukannya sekali lagi.

“Kami mempunyai lebih banyak motivasi dan keyakinan sekarang. Dalam dua perlawanan terakhir dalam semua pertandingan, kami telah menjaringkan lapan gol, sesuatu yang baik.

“Tetapi saya memberitahu mereka apabila berdepan pasukan yang berada pada kedudukan tercorot, perlu bersabar dan jika peluang itu ada, guna dengan sebaik mungkin," kata Steinbruckner.

Sang Penyu berada di kedudukan keenam dalam Liga Super dengan 29 mata, hanya dibezakan lapan mata di belakang Sri Pahang FC yang menduduki tangga kelima.

Terengganu akan memberikan kepercayaan kepada penyerang Croatia, Ivan Mamut dan pemain sayap Nik Shareef Haseefy yang menunjukkan prestasi baik dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Mamut adalah penjaring terbanyak pasukan dengan tujuh gol, manakala Shareef terkenal dengan tipu helah di bahagian sayap, bersama pemain seperti Norhakim Hassan dan Engku Nur Syakir Engku Yacob.

Bukan itu sahaja, Steinbruckner cukup berani untuk memulakan pemain muda seperti Safwan Mazlan dan Ubaidullah Shamsul Fazili di bahagian pertahanan.

“Kami mempunyai pemain gantian yang baik seperti Ubai dan Safwan, saya telah melatih mereka sejak pramusim dan tahu mereka mempunyai kelebihan yang diperlukan untuk bermain dengan pasukan utama.

“Siapa pun yang diberi peluang untuk menjadi kesebelasan utama menentang Kelantan, saya harap mereka akan memberikan yang terbaik," ujarnya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram