JDT pernah 'pening kepala', hilang lebih 10 pemain gara-gara kena gantung, kecederaan


  • Podium
  • Ahad, 13 Ogos 2023

Antara pemain JDT yang pernah menabur bakti bersama Harimau Selatan dalam saingan Piala Malaysia 2014. — Agensi

SEMBILAN tahun lalu, bekas Ketua Jurulatih Johor Darul Takzim (JDT), Bojan Hodak berada dalam situasi genting selepas pernah kehilangan lebih 10 pemain dalam aksi pembukaan kempen Piala Malaysia menentang Kelantan FC.

Walaupun mempunyai ramai pemain terbaik kebangsaan, tetapi bekas pemain Croatia itu tidak dapat menurunkan kesebelasan utama menjelang kempen pembukaan Piala Malaysia menentang Kelantan ketika itu.

Dilaporkan, pasukan Harimau Selatan pernah beraksi tanpa tiga tonggak termasuk penyerang berbisa, Jorge Diaz yang telah kembali ke Argentina kerana masalah kesihatan yang dialami oleh ayahnya.

Bukan itu sahaja, skuad Harimau Selatan juga pernah kehilangan penyerang Argentina, Luciano Figueroa yang digantung dan penyerang versatil, Mohd Amri Yahyah ketika itu.

jdt vs kelate

Pertembungan dua seteru Liga Malaysia iaitu JDT dan Kelantan. — Agensi

Selain itu, menambah kesengsaraan pengendali kelahiran Croatia itu, pemain tengah penyerang, Mohd Irfan Fazail dan Mohd Amirulhadi Zainal juga pernah diketepikan akibat kecederaan.

Ditambah lagi dengan tujuh pemain JDT iaitu Mahali Jasuli, Mohd Aidil Zafuan Razak, Mohd Fadhli Shas, Safiq Rahim, Asraruddin Putra Omar, Safee Sali dan Norshahrul Idlan Talaha yang baru sahaja kembali dari menjalankan tugasan pasukan kebangsaan ketika itu.

Melihat kepada situasi tersebut, Bojan dilaporkan menagih khidmat dua pemain untuk meningkatkan permainan mereka menjelang perlawanan tersebut iaitu Norshahrul Idlan Talaha dan Safee Sali.

“Kami dilanda kecederaan dan penggantungan, pemain yang pulang dari tugas kebangsaan masih keletihan selepas penerbangan hampir 24 jam dan mereka baru memulakan latihan.

“Perkara ini di luar kawalan kami, kami tidak boleh berbuat banyak mengenainya dan saya fikir kami masih mempunyai kualiti untuk meraih kemenangan daripada perlawanan ini.

“Kami mempunyai beberapa pemain import dalam pasukan dan mereka mesti memenuhi jangkaan dan bersikap profesional apabila dipilih untuk bermain. Mereka perlu buktikan kemampuan dan memenangi perlawanan ini kerana kami akan bermain di tempat sendiri," kata Bojan ketika itu.

Bagaimanapun, Kelantan juga menghadapi masalah yang sama dengan JDT.

Ini kerana, pemain tengah kelahiran Mesir The Red Warriors (TRW), Mohamed Ali Abu El Yazid Shawky, digantung oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan KAFA selepas gagal melapor diri sejak awal Julai 2014 manakala bintang mport Ghana, Prince Tagoe bergelut untuk mencari tempat dalam pasukan utama ketika itu.

Hodak turut dilaporkan berkata, pasukan gergasi pantai timur ketika itu menjadi lawan yang hebat walaupun menduduki tempat keenam daripada 12 pasukan dalam saingan Liga Super.

"Penglibatan Kelantan dalam Piala AFC 2014 jelas menjejaskan prestasi mereka dalam Liga Super tetapi tanpa sebarang gangguan mereka akan sukar untuk ditewaskan," katanya.

Kelantan FC yang dikenali sebagai Kelantan FA ketika itu pernah melakar sejarah treble musim 2012 namun gagal mengekalkan kemenangan tersebut selepas itu.

Kini, Kelantan FC menduduki tangga tercorot, berbeza dengan pasukan gergasi tanah air, JDT yang gah mengungguli tangga pertama Liga Super 2023. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram