SENGIT dan rumit. Itu yang digambarkan Ketua Jurulatih Selangor, Tan Cheng Hoe tentang perlawanan seterusnya menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) dalam saingan Liga Super 2023.
The Red Giants akan menentang NSFC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan pada Isnin, dengan harapan dapat mengekalkan kedudukan kedua Liga Super.
Selangor mengutip 43 mata daripada 20 perlawanan untuk menduduki tangga kedua tetapi perlu memenangi perlawanan tersebut agar tidak dipintas oleh Kedah Darul Aman FC yang kini berada di kedudukan ketiga dan hanya dibezakan dengan tiga poin.
Cheng Hoe berkata, kemenangan 2-0 menentang Kuala Lumpur City FC minggu lalu adalah penting kerana ia memberi dorongan kepada pasukannya untuk bermain dengan baik menentang skuad Jang.
“Kemenangan daripada perlawanan terakhir sepatutnya menjadi motivasi terbesar pasukan dan harus lebih menggalakkan pasukan untuk perlawanan seterusnya. Mengekalkan momentum kemenangan ini akan memastikan kami berada dalam kedudukan yang baik untuk berada di kedudukan terbaik dalam liga.
“Kami menjangkakan perlawanan akan sengit kerana dalam dua perlawanan sebelum ini menentang NSFC, kami dibolosi gol awal tetapi kami bangkit daripada situasi tersebut.
“Kami perlu fokus pada setiap serangan balas mereka kerana ia adalah salah satu kekuatan lawan," katanya.
Walaupun tidak mempunyai beberapa tonggak utama namun Cheng Hoe tetap percaya dengan pemain yang sedia ada.
“Persediaan pasukan agak baik, namun ada pemain yang mungkin tidak dapat pergi bersama pasukan seperti Brendan Gan dan Noor Al-Rawabdeh akibat kecederaan.
“Pihak kejurulatihan juga akan mencari pengganti Safuwan Baharudin dan V. Ruventhiran kerana kedua-dua mereka tidak akan bersama pasukan akibat penggantungan selepas mengutip tiga kad kuning.
“Tetapi kami yakin akan kelebihan pemain yang sedia ada dan siapa yang boleh menggantikan mereka," jelasnya.
Sementara itu, pengendali NSFC, K. Devan mendedahkan bahawa akan ada perubahan pada kesebelasan utamanya selepas kekalahan mengejut 0-2 menentang Kelantan FC Rabu lalu.
“Kami akan melakukan perubahan, itu sudah pasti. Kami mempunyai kesebelasan utama yang baik menentang Selangor. Casa (Casagrande) kembali daripada kecederaan dan kami berharap dapat menggandingkannya dengan pemain baharu kami, Youssef Ezzejjari.
"Saya juga memberitahu mereka untuk bermain dengan baik kerana mereka tidak akan rugi walaupun kalah dan berharap agar tidak menunjukkan kelemahan apabila berdepan Selangor," ujarnya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram