Tak mahu kecewa lagi, mutu pengadilan lebih curi tumpuan fans menjelang aksi Sabah-KL City FC


  • Podium
  • Ahad, 13 Ogos 2023

Sekitar sesi latihan Sabah FC menjelang aksi Liga Super berdepan The City Boys pada Ahad. — Instagram/officialsabahfc

SABAH FC perlu melupakan episod luka selepas dikalahkan oleh pasukan gergasi tanah air, Johor Darul Takzim (JDT) di laman sendiri dalam saingan Liga Super pada Khamis.

Walaupun pahit ditelan kekalahan tersebut, namun Sang Badak perlu menerimanya sebagai pembakar semangat untuk perlawanan akan datang dan tidak mengulangi kesilapan-kesilapan kecil.

Pada masa sama, penyokong setia The Rhinos tetap menganggap bahawa kemenangan bergaya JDT itu berpunca daripada keputusan pengadil perlawanan yang dikatakan berat sebelah kerana memihak kepada pasukan pengunjung.

"Tolonglah Malaysian Football League (MFL), review referee anda bila perlawanan melibatkan JDT, asal saja pengadilan Sabah FC vs JDT, keputusan referee bias betul.

"Bukan saja penonton yang marah, coach Sabah, Datuk Ong Kim Swee pun marah betul dengan keputusan referee," luahan hati Penyokong Sabah FC.

WhatsApp Image 2023-08-13 at 17.10.35

Sekitar sesi latihan barisan pemain Sang Badak. Instagram/officialsabahfc

Oleh itu, menjelang perlawanan menentang The City Boys yang akan berlangsung di Stadium Likas, Sabah pada Ahad, rata-rata penyokong Sang Badak berharap agar mutu pengadilan ketika menentang JDT tidak berulang kembali.

Ini kerana, keputusan pengadil ketika perlawanan tersebut memberi kesan negatif kepada barisan pemain Sabah FC yang dilihat semakin kurang bersemangat.

"Mana-mana pasukan kalau pengadilan teruk akan down momentum, bikin penat saja kejar bola kalau ada orang yang ke-13," kata Abdullah Hanafiah.

"Kalah menang adat permainan. Tapi kecewa dengan mutu pengadilan itu luar biasa, bukan dua biji mata saja yang melihat dan mentafsir," kata Eword Jtx.

"Memang berat sebelah. Kekalahan boleh diterima kalau pengadil jujur," kata Edy Ghani.

Justeru, penyokong Sabah FC berharap agar perlawanan menentang Kuala Lumpur (KL) City FC diadili oleh pengadil yang berpengalaman serta tidak berat sebelah.

Dengan itu, tentunya penyokong akan berpuas hati dengan keputusan yang diperolehi dan insiden buang botol dan sampah ke tengah padang tidak akan berlaku.

Untuk rekod, musim ini skuad Warga Kota menjadi antara musuh yang sukar ditumbangkan The Rhinos apabila tewas 0-2 kepada KL City dalam Liga Super pada 5 April dan 1-2 dalam saingan Piala FA pada 28 Mei. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram